
SHELL ADVANCE ULTRA 10W-50 LANCAR DI MALAYSIA
Sempena meraikan kerjasama teknikal dengan Ducati Corse di MotoGP, Shell Malaysia dengan rasminya melancarkan minyak enjin premium menerusi Shell Advance Ultra 10W-50 (API SP).

Berlangsung ketika minggu MotoGP Malaysia, Shell Advance Ultra 10W-50 diformulasikan dengan Shell PurePlus Technology yang merupakan proses menukar gas asli kepada minyak dengan 99.5 peratus keaslian.
Menurut Shell Malaysia, Shell Advance Ultra dihasilkan bagi menawarkan prestasi dan perlindungan terbaik untuk enjin. Menariknya, dengan pencapaian standard API SP terkini, penunggang motosikal seluruh dunia boleh memberi kepercayaan penuh pada tawaran terbaru ini.

“Sebagai minyak enjin no.1 di Malaysia, kami komited untuk membawa inovasi bertaraf dunia dari litar MotoGP ke pengguna motosikal di Malaysia,” jelas Darlina Mohd Sibi selaku Pengarah Besar Cluster, Shell Lubricants MY/SG dan Asia Tenggara.
Untuk rekod, Shell Advance merupakan satu-satunya minyak enjin yang direkomen oleh Ducati Corse dan kerjasama yang panjang ini telah membantu Ducati dalam melakar kejuaraan berganda di MotoGP.







