CHANGAN DEEPAL SL03, KERETA SEL BAHAN API PERTAMA DI CHINA. BERMULA RM111K SAHAJA
Pada Julai lalu, sub-jenama Changan Auto, serta semua jenama EV baharunya, DEEPAL (bermaksud “Biru Dalam” dalam bahasa Cina) melancarkan sedan pertamanya SL03. Kereta baharu itu dibina di atas platform elektrik Changan EPA1 yang dikategorikan sebagai sedan elektrik bersaiz sederhana dengan pacuan roda belakang.
Changan DEEPAL SL03 menawarkan tiga versi rangkaian kuasa iaitu range extender, elektrik sepenuhnya dan tenaga hidrogen. Versi tenaga hidrogen menggunakan bateri bahan api hidrogen yang pertama dikeluarkan secara besar-besaran di China dan ditawarkan pada harga bermula 168,900 yuan (RM111,400) seunit.
Walaupun hadir dalam beberapa rangkaian kuasa yang berbeza, sedan itu bagaimanapun mempunyai konsep reka bentuk yang hampir sama. Antaranya termasuklah rekaan gril tertutup, lampu utama LED yang nipis dan sebagainya.
Senang cakap, seluruh bahagian Changan DEEPAL SL03 diselaraskan dan garis bumbung yang elegan serta nisbah tingkap serta pintu hampir 2:1 menjadikan kereta baharu itu kelihatan penuh aura.
Ia juga didatangkan dengan reka bentuk pemegang pintu yang tersembunyi dan tingkap tanpa bingkai. Dari segi saiz badan, kereta baharu itu mempunyai panjang 4,820mm, lebar 1,890mm dan tinggi 1,480mm dengan jarak roda 2,900mm.
Untuk bahagian dalam, sedan tersebut menggunakan panel instrumen LCD penuh, stereng dua jejari dan skrin jenis ‘sunflower screen’ bersaiz 14.6 inci. Skrin itu juga menawarkan fungsi kawalan pusat pusingan kiri dan kanan maksimum 15° untuk stereng tersebut.
Susun atur keseluruhan kabin kelihatan agak ringkas dengan panel hitam dan bumbung kelabu dipadankan dengan harmoni.
Dari segi konfigurasi, Changan DEEPAL SL03 akan dilengkapi pengawal domain kenderaan pintar (Changan Smart Core) dan pengawal domain kokpit pintar (cip Qualcomm 8155) dan sokongan peningkatan kemas kini OTA.
Dalam varian berbeza, ia dipasang dengan bumbung panoramik bersaiz 1.9 meter persegi yang diperbuat daripada kaca Low-E untuk menyekat 99 peratus sinaran UV dengan berkesan dan kadar penebat haba mencecah 80 peratus.
Corong pendingin hawa tersembunyi, 14 unit pembesar suara SONY, AR-Head Up Display, kawalan suara pintar, kawalan kokpit penuh dengan 9 mod, sistem kunci kad NFC, kunci pintar Bluetooth turut terdapat pada kereta ini.
Changan DEEPAL SL03 versi elektrik didatangkan dalam dua model dengan pilihan jarak perjalanan sejauh 705km atau 515 kilometer dengan sekali caj. Versi range extender menawarkan jarak sehingga 1,200 kilometer dan varian hidrogen-elektrik mampu bergerak sejauh 730 kilometer.
Varian EV dilengkapi rangkaian kuasa 160kW dan 190kW E-motor yang mampu menawarkan tork puncak 320Nm. Kapasiti bateri jenis litium ternary pula ialah 58.1kWh dan 79.97kWh dengan jarak perjalanan mampu mencecah layaran 515km dan 705km.