JEEP TUTUP SATU-SATUNYA KILANG DI CHINA KERANA CAMPUR TANGAN KERAJAAN
Jeep telah menutup satu-satunya kilangnya di China, lapor Bloomberg. Ketua Pegawai Eksekutif Stellantis, Calos Tavares memberitahu campur tangan politik tempatan sebagai salah satu sebab keputusan itu dibuat.
Meskipun pengeluaran di negara Asia berakhir, Jeep bagaimanapun akan terus membekalkan produk seperti model elektrik kepada pengedarnya.
Sedia maklum bahawa jualan kenderaan jenama AS dan Eropah Barat semakin merudum di China. Pada masa sama, jualan jenama dan model domestik terus meningkat. Jualan kenderaan jenama luar dilaporkan turun kepada hampir satu perlima di China pada separuh pertama tahun ini. Jualan kereta baharu jenama Jepun juga turun sehingga dua digit.
Ketegangan geopolitik yang semakin meningkat menyebabkan Stellantis dan pembuat kereta lain bimbang tentang potensi sekatan ekonomi yang akan mengganggu operasi perniagaan mereka di China.
Awal tahun ini, Renault terpaksa menghentikan operasi di Rusia selepas negara itu menyerang Ukraine yang akhirnya memaksa Renault menjual semua sahamnya di dalam Renault Rusia. Ini adalah sesuatu Jeep harap dapat dielakkan.
Dua tahun terdahulu, sekatan ekonomi melanda Iran dan kumpulan PSA terpasa berundur daripada beroperasi di negara itu.
Penutupan satu-satunya kilang Jeep menyaksikan pengeluar berkenaan menamatkan perjanjian pembuatan selama 12 tahun dengan Guangzhou Automobile Group, sebuah syarikat milik kerajaan China.
Menurut Tavares, GAC tidak memenuhi jangkaan Jeep dan berpendapat lebih baik untuk berehat. Melalui kerjasama itu, mereka berjaya menghasilkan model-model seperti Renegade, Compass, Cherokee dan Grand Commander.
Kebimbangan tentang angka jualan di China membuatkan Stellantis membuat keputusan lebih awal untuk menghentikan pengeluaran Jeep. Pada tahun 2020, apabila Kumpulan PSA dan Fiat Chrysler Autombiles berunding mengenai penggabungan mereka, wujud kebimbangan mengenai prestasi kedua-dua pembuat kereta di negara tersebut. Kedua-duanya bergabung untuk mengurangkan kos.
Pandemik COVID-19 dan perang di Ukraine mendedahkan kerapuhan rantaian bekalan global hari ini. Ia melibatkan pembuat kereta, pembekal dan banyak perniagaan lain menilai semula cara serta tempat mereka menjalankan perniagaan.
Tidak mustahil akan ada pembuat kereta yang lain mengambil tindakan pencegahan untuk melindungi operasi mereka dalam beberapa bulan dan tahun akan datang.