Artikel Pilihan

PERODUA ARUZ DAN ALZA GUNA ENJIN SAMA, KENAPA ALZA LAGI JIMAT?

Kalau anda nak tau, Perodua Alza dan Perodua Aruz merupakan kenderaan yang dikeluarkan oleh Perodua tapi menggunakan enjin 1500cc 4 silinder yang sama walaupun berlainan kategori. Perodua Aruz merupakan SUV 7 tempat duduk manakala Perodua Alza adalah MPV 7 tempat duduk.

Walaupun menggunakan enjin yang sama, penggunaan bahan api Alza dan Aruz adalah tidak sama. Enjin 2NR-VE ini menghasilkan 105 kuasa kuda dan 138Nm tork pada Perodua Alza. Manakala untuk Aruz pula, enjin ini menjana 101 kuasa kuda dan 133Nm tork.

Perodua Aruz memberikan bacaan sekitar 15.6km per liter petrol manakala Perodua Alza yang terkini memberikan purata bacaan sekitar 22km per liter. Ini menunjukkan Alza jauh lebih jimat berbanding Aruz. Jadi kami akan huraikan kenapa Alza lebih menjimatkan petrol berbanding dengan Aruz

1. Cesi – walaupun nampak sama, Aruz dan Alza adalah kenderaan yang berbeza antara satu sama lain. Aruz dibina dengan menggunakan cesi ladder frame yang lebih berat kerana Aruz direka sebagai sebuah SUV  yang pastinya akan dipandu di atas permukaan jalan tidak rata. Cesi ladder frame yang kuat akan menghalang cesi daripada terherot dan merosakkan struktur kabin

Alza pula dibangunkan dengan menggunakan cesi monocoque atau lebih tepat lagi cesi Daihatsu New Global Architecture atau DNGA sama seperti Ativa. Perbezaan platform ini menyebabkan berat Alza dan Aruz adalah berbeza dengan ketara

2. Berat – berdasarkan maklumat berat Aruz ialah 1310kg bagi varian AV manakala Alza AV jauh lebih ringan pada 1170kg. Perbezaan berat 140kg adalah agak ketara kerana selain daripada platform yang digunakan adalah berbeza, sistem pacuan antara Aruz dan Alza juga adalah berbeza

3. Pacuan – ya inilah perbezaan yang agak ketara antara Perodua Aruz dan Perodua Alza. Dalam sebutan automotif, Aruz menggunakan konfigurasi FR iaitu enjin di depan tapi pacuan tayar belakang. Bagi Alza pula ia menggunakan konfigurasi FF iaitu enjin di depan dan juga pacuan depan.

Bagi Aruz yang banyak digunakan di atas permukaan jalan yang lebih mencabar, kelebihan pacuan belakang ialah ia menolak cesi ke arah depan. Kuasa enjin akan dihantar dari kotak gear kepada gandar belakang menerusi propeller shaft. Jadi sistem yang digunakan adalah lebih kompleks berbanding dengan Alza

Sistem yang komplek dan berat ini akan ada mechanical loss berbanding dengan sistem yang lebih ringkas seperti pacuan depan yang digunakan oleh Alza. Malah sistem pacuan belakang ini juga sebenarnya lebih berat berbanding pacuan depan

4. Transmisi – selain daripada menggunakan pacuan depan, Alza juga menggunakan transmisi baru yang dibangunkan bersama-sama platform DNGA yang baru dibangunkan iaitu transmisi Dual Mode CVT yang lebih ringkas, cekap tenaga dan juga efisyen.

Aruz pula masih menggunakan transmisi 4 kelajuan automatik di mana ratio gear adalah terhad kepada 4 ratio sahaja berbanding D-CVT yang boleh menghasilkan beribu-ribu ratio maya antara julat minima dan juga maksima.

Jadi sudah pasti D-CVT keluaran Akashi Kikai boleh memaksa enjin bekerja dalam keadaan yang lebih cekap, satu ciri yang tidak boleh dibuat pada transmisi 4 kelajuan. Tapi pada hemat penulis, transmisi 4 kelajuan keluaran Aisin memang dipilih khas untuk Aruz bagi kegunaan yang lebih lasak berbanding dengan Alza.

Jadi semua 4 faktor yang kami huraikan tadi menjelaskan sedikit sebanyak kenapa Perodua Aruz memberikan bacaan purata penggunaan petrol 15.6km per liter berbanding dengan Alza sebanyak 22km per liter.

Sesetengah laman sesawang juga menunjukkan ada lagi faktor tambahan yang membezakan kedua dua enjin yang digunakan oleh Aruz dan juga Alza. Nisbah mampatan yang digunakan oleh Aruz ialah 10:1 manakala nisbah mampatan yang digunakan oleh Alza ialah 11.5:1. Tapi maklumat ini belum dapat dipastikan lagi oleh penulis.

Untuk perbandingan, Aruz sebenarnya ada kelebihan yang tersendiri berbanding dengan Alza. Dengan semua tempat duduk digunakan, Aruz masih menawarkan ruang kargo sebesar 213 liter berbanding dengan Alza yang hanya sebesar 137 liter sahaja

Jarak kelegaan permukaan jalan dengan Aruz ialah 220mm iaitu lebih tinggi berbanding dengan Alza yang hanya menawarkan jarak 160mm sahaja. Kami tidak mengetahui berapakah kedalaman air banjir yang boleh dilalui oleh Alza.

Tapi Aruz memiliki wading depth (kedalaman merentasi air) setinggi 600mm, kurang 100mm sahaja berbanding dengan Toyota Hilux. Jadi jika rumah anda selalu mengalami masalah banjir, Aruz adalah kenderaan yang lebih sesuai untuk anda.

Google ads
Back to top button