Buletin

VINFAST MAHU IPO DI AS. NILAI SYARIKAT BOLEH MENINGKAT MENJADI RM247.6 BILION

Pengeluar kenderaan dari Vietnam, Vinfast dilapor berhasrat untuk melakukan penawaran awam (IPO) di Amerika Syarikat yang boleh meningkatkan nilai syarikat berkenaan menjadi AS$60 bilion (RM247.6 bilion).

Vinfast yang merupakan syarikat milik konglomerat terbesar Vietnam, Vingroup JSC kini sedang bekerjasama dengan Credit Suisse Hong Kong untuk membuat penawaran di New York Stock Exchange. Jika berjaya, ia didakwa mampu memperoleh AS$3 bilion (RM12.4 bilion) menerusi IPO dan menjadi penyenaraian terbesar oleh sebuah syarikat Vietnam di AS. 

Pada tahun 2018, Vinhomes JSC berjaya mencatat IPO bernilai lebih AS$1.4 bilion (RM5.8 bilion).

Biarpun Vingroup enggan memberi sebarang komen, sumber terdekat mendakwa penyenaraian tersebut dijangka berlaku tidak lama lagi.  

Vinfast mula menghasilkan kenderaan pada tahun 2019. Baru-baru ini mendedahkan bahawa ia sedang berbincang dengan Foxconn untuk membina kereta elektrik. Tahun lalu, ia berjaya menjual sekitar 30,000 unit kenderaan dan menjangkakan jualan melebihi 45,000 unit pada tahun ini. 

Ia juga merancang untuk mula menyerahkan kenderaan elektrik pertama yang dihasilkan di kilangnya di Hai Phong menjelang Disember tahun ini. 

Jika Vinfast berjaya membuat IPO di AS, ia akan menjadi pengeluar kenderaan terkini yang berbuat demikian dalam 12 bulan lalu selepas Xpeng, Lucid dan Lordstown. 

Google ads
Back to top button