CHERY iCAR 03 AWD DIPERKENALKAN DI INDONESIA – PENGHANTARAN BERMULA SUKU PERTAMA 2025
PT Chery Sales Indonesia (CSI) baru-baru ini telah memperkenalkan iCar 03 AWD secara rasmi di Indonesia.
Secara keseluruhan, iCar 03 AWD menampilkan reka bentuk berbentuk kotak yang futuristik namun kelihatan ranggi.
Kereta elektrik ini mempunyai dimensi panjang 4,406mm, lebar 1,910mm, tinggi 1,715mm, dan jarak roda 2,715mm.
Bahagian hadapannya direka dengan sudut tajam, dipadankan dengan gril mendatar tertutup, lampu utama LED yang direka secara vertical manakala di bahagian bawah, terdapat bampar hitam tebal dengan lubang gril di tengah untuk menyejukkan sistem elektrik.
Dari sisi, iCar 03 AWD diserlahkan dengan rim 18-inci yang dibalut dengan tayar Chao Yang Radial RP76, memberikan penampilan lebih gagah.
Masuk ke bahagian dalaman, iCar 03 AWD dilengkapi stereng dengan tetapan audio dan kluster meter yang memaparkan pelbagai maklumat seperti odometer, kelajuan, dan jarak perjalanan.
Berbeza dengan kluster meter yang kecil, head-up display (HUD) tampil besar dengan maklumat seperti lalu lintas jalan raya, kamera 3D 360 darjah, pengukuran tekanan tayar (TPMS), sudut kecondongan kereta, kuasa bateri serta jarak perjalanan.
Untuk keselamatan penumpang, iCar 03 dilengkapi dengan 6 beg udara dari hadapan hingga ke belakang.
iCar 03 juga mampu meredah laluan air dengan ketinggian sehingga 600mm. Kereta elektrik ini menggunakan bateri jenis CATL lithium iron phosphate dengan dua pilihan kapasiti, iaitu 65kWh dan 69kWh, mampu meliputi jarak sehingga 500km.
iCar 03 AWD dengan pacuan empat roda dilengkapi dua motor, menghamburkan kuasa 74hp dan tork maksimum 279Nm.
Keupayaan pecutannya dari 0 hingga 100 kilometer sejam dikatakan dapat dicapai dalam masa 6.5 saat.
Namun, buat masa ini, Chery Indonesia masih dalam peringkat pengenalan di Indonesia, dan harga masih dirahsiakan.
Bagi mereka yang berminat, Chery membuka pra-tempahan iCar 03 dengan deposit IDR 10 juta (RM2,894). dan anggaran penghantaran pada suku pertama tahun 2025.