
TOYOTA CELICA GENERASI BAHARU BAKAL DIPERKENALKAN DI TOKYO AUTO SALON TAHUN DEPAN
Toyota baru-baru ini menyatakan minat mereka untuk menghidupkan semula model ikonik, Celica, berikutan minat orang ramai dalam enjin pembakaran dalaman.
Menurut media Jepun, BestCar, generasi kelapan Toyota Celica dijangka akan diperkenalkan pada Tokyo Auto Salon tahun depan.
Desas-desus ini mengikuti kebangkitan semula model-model lain seperti MR2, Starlet Turbo, serta S-FR yang akan menyertai barisan Toyota sedia ada seperti GR Supra, GR 86, Corolla, dan Yaris.
Bentuk baharu Celica ini masih menjadi tanda tanya, namun sejarahnya yang pelbagai memberikan beberapa petunjuk menarik.

Bagi mereka membesar pada tahun 70-an, Celica dikenali sebagai ‘Japanese Mustang’, peminat era WRC dan perlumbaan Group A mungkin lebih mengingati generasi keempat, kelima, dan keenam yang melahirkan Celica GT-Four rally car yang dikuasakan oleh enjin ‘3S-GTE’.
Generasi ketujuh dengan reka bentuk angular dan pacuan depan menjadi popular dalam francais Fast & Furious dan Need For Speed pada awal 2000-an.
Memetik laporan BestCar, Toyota berkemungkinan besar akan mengikuti laluan era WRC untuk kebangkitan semula Celica ini.
Spekulasi boleh dipercayai dari BestCar menunjukkan Celica generasi kelapan ini mungkin akan menggunakan enjin 2.0-liter, mampu menghasilkan sekitar 300kW dan disahkan minggu ini oleh Toyota.
Enjin ini dilaporkan telah dalam pembangunan untuk beberapa waktu dan bersedia untuk dilancarkan.
Dengan kedudukan sebagai alternatif mewah kepada produk GR, Celica baharu ini berpotensi menjadi pilihan menarik dengan harga sekitar AS$70,000 (RM328,152) menampilkan tempat duduk 2+2, dan pilihan transmisi automatik atau manual.
Hanya masa akan menentukan sama ada Toyota akan menghasilkan Celica ini – kita akan mendapat lebih banyak maklumat pada Tokyo Auto Salon 2025.





