Buletin

SUBARU BRZ 2025 DIPERKENAL DI JEPUN, MOD SPORT UNTUK MODEL MANUAL

Pada hari yang sama Toyota memperkenal 86 dipertingkat untuk pasaran Jepun, Subaru turut melakukan perkara sama dengan BRZ.

BRZ generasi kedua diperkenal pada Julai 2021 dan sebelum perubahan terbaru, Subaru telah meningkatkan spesifikasi pada September 2023 dengan kesemua varian dilengkapi teknologi EyeSight.

Teknologi bantuan pemanduan EyeSight sebelum itu hanya dilengkapi pada model automatik.

BRZ manual kini dilengkapi mod Sport yang dibangunkan menggunakan pengetahuan dari Pasukan Kejuruteraan SDA (Akademi Pemanduan Subaru) yang bersaing di dalam Siri Super Taikyu.

Di dalam mod Sport, tetapan pada pendikit memastikan enjin bertindak balas kepada operasi pendikit pada setiap kelajuan enjin dan meningkatkan kawalan pemecut.

Satu lagi, tahap bunyi Active Sound Control yang lebih kuat memainkan peranannya untuk meningkatkan lagi deria keseronokan pemandu.

Untuk BRZ automatik, tetapan baharu untuk penurunan gear secara manual berfungsi bagi menentukan julat had kelajuan secara menyeluruh berdasarkan tingkah laku pemandu dan keadaan jalan raya.

Julat kelajuan enjin juga dibesarkan supaya pemandu dapat menurunkan gear bila diperlukan dan tanpa risiko terlebih rev.

Beberapa lagi perubahan yang dibuat ialah karakteristik daya redaman penyerap hentak BRZ R, S dan Cup Car Basic dioptimumkan untuk pengendalian dan kestabilan lebih cemerlang.

Penalaan pada karakteristik stereng kuasa elektrik turut dibuat untuk tujuan yang sama.

Ciri-ciri baharu Subaru BRZ 2025

  • Penambahan mod Sport untuk model manual
  • Peningkatan julat RPM untuk penurunan gear secara manual bagi model automatik
  • Pengoptimuman karakteristik daya redaman penyerap hentak (termasuk BRZ STI Sport)
  • Pengoptimuman karekteristik stereng kuasa elektrik
  • Tahap bunyi Active Sound Control lebih kuat untuk model manual (5 fungsi)
  • Perubahan pada lampu nyala siang (kecuali Cup Car Basic)
  • Perubahan pada operasi tuil lampu isyarat (kekal tanpa kembali ke tengah).

BRZ kekal digerakkan enjin 2.4 liter dengan kuasa 235 ps pada 7,000 rpm dan 250Nm pada 3,700 rpm.

Tiga varian BRZ iaitu R, S dan STI Sport ditawarkan pilihan kotak gear automatik dan manual enam kelajuan manakala Cup Car Basic dengan kotak gear manual sahaja.

Harga bermula dari 3,722,400 yen (RM111,098) untuk Cup Car Basic sehingga 3,817,000 yen (RM113,922) bagi varian teratas STI Sport automatik.

Google ads
Back to top button