Buletin

PRODUKSI CHERY iCAR 03 DI INDONESIA BERMULA – LANCAR SUKU PERTAMA 2025

Chery iCar 03 diharapkan menjadi SUV elektrik off-road perdana yang bakal dilancarkan di Indonesia, menunjukkan usaha syarikat untuk mendorong mobiliti lebih lestari.

Ketua Jabatan Jenama PT Chery Sales Indonesia, Rifkie Setiawan, mengesahkan bahawa pengeluaran iCar 03 secara tempatan telah bermula.

Chery kini bekerjasama dengan PT Handal Indonesia Motor untuk memastikan proses pengeluaran ini berjalan lancar.

“Pengeluaran sudah bermula sekarang, kami sedang membuat penghantaran ke pengedar sebagai persediaan pelancaran,” kata Rifkie.

iCar 03 menggunakan platform yang sama seperti Jaecoo J6 di China, dengan tujuan memperkuat jenama Chery di pasaran Indonesia.

Rifkie juga menjelaskan bahawa model iCar ini dikhususkan untuk pasaran domestik Indonesia, sementara di negara lain, jenama Jaecoo akan digunakan.

Kereta elektrik ini mempunyai dimensi panjang 4,406mm, lebar 1,910mm, tinggi 1,715mm, dan jarak roda 2,715mm.

Bahagian hadapannya direka dengan sudut tajam, dipadankan dengan gril mendatar tertutup, lampu utama LED yang direka secara vertical manakala di bahagian bawah, terdapat bampar hitam tebal dengan lubang gril di tengah untuk menyejukkan sistem elektrik.

Dari sisi, iCar 03 diserlahkan dengan rim 18-inci yang dibalut dengan tayar Chao Yang Radial RP76, memberikan penampilan lebih gagah.

Masuk ke bahagian dalaman, iCar 03 dilengkapi stereng dengan tetapan audio dan kluster meter yang memaparkan pelbagai maklumat seperti odometer, kelajuan, dan jarak perjalanan.

Berbeza dengan kluster meter yang kecil, head-up display (HUD) tampil besar dengan maklumat seperti lalu lintas jalan raya, kamera 3D 360 darjah, pengukuran tekanan tayar (TPMS), sudut kecondongan kereta, kuasa bateri serta jarak perjalanan.

Untuk keselamatan penumpang, iCar 03 dilengkapi dengan 6 beg udara dari hadapan hingga ke belakang.

iCar 03 juga mampu meredah laluan air dengan ketinggian sehingga 600mm. Kereta elektrik ini menggunakan bateri jenis CATL lithium iron phosphate dengan dua pilihan kapasiti, iaitu 65kWh dan 69kWh, mampu meliputi jarak sehingga 500km.

iCar 03 AWD dengan pacuan empat roda dilengkapi dua motor, menghamburkan kuasa 74hp dan tork maksimum 279Nm.

Keupayaan pecutannya dari 0 hingga 100 kilometer sejam dikatakan dapat dicapai dalam masa 6.5 saat.

Pada Julai lalu, Chery telah membuka pra-tempahan iCar 03 dengan deposit IDR 10 juta (RM2,894) dan anggaran penghantaran pada suku pertama tahun 2025.

Google ads
Back to top button