Buletin

KAPAL MT CERES 1 CUBA DILARIKAN, DITEMUKAN DI PULAU TIOMAN

Kapal tangki MT Ceres I yang didapati hilang dari lokasi pelanggaran di Perairan Tanjung Balau, semalam, ditemukan di Pulau Tioman pagi tadi disyaki cuba dilarikan.

Pengarah Bahagian CARILAMAT dan Bantuan Bencana Maritim Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Mad Yunus, berkata kapal tangki yang berdaftar di negara kepulauan Afrika, Republik Sao Tome and Principe itu ditemukan di kedudukan 28 batu nautika timur laut Pulau Tioman.

“Kapal peronda luar pesisir (OPV) KM PEKAN milik APMM berjaya mengesan dua bot tunda sedang menunda kapal tangki berkenaan berhampiran Pulau Tioman.

“Kapal peronda APMM berjaya memintas kapal tangki MT Ceres pada jam 1.20 pagi tadi dan kemudian menahan kedua-dua buah bot tunda terbabit yang disyaki sedang membawa lari kapal tangki berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, sebuah kapal yang terbabit dalam insiden perlanggaran dua kapal itu di Perairan Tanjung Balau di sini, dilaporkan ‘hilang’ dari lokasi kejadian.

Zin Azman dilaporkan berkata ‘kehilangan’ MT Ceres 1, dari lokasi kejadian disedari dalam operasi mencari dan menyelamat, yang disambung pagi semalam.

Manakala, kapal MT Hafnia Nile yang berdaftar di Singapura dan membawa muatan bahan kimia ‘Naptha’, sejenis cecair mudah terbakar dilaporkan dikesan hanyut 52 batu nautika dari lokasi kejadian dan kini berada di Timur Pulau Pemanggil, Mersing.

Dalam pada itu, Zin Azman berkata APMM dengan kerjasama Jabatan Laut Malaysia (JLM) akan melaksanakan siasatan lanjut insiden kejadian dengan penemuan semula kapal MT Ceres I berkenaan.

“Kita sedang siasat motif dua kapal penunda berkenaan cuba melarikan MT Ceres dari lokasi kejadian,” katanya.

Sementara itu, Zin Azman berkata, hasil tinjauan udara pesawat amfibia Bombardier CL 415 MP milik APMM telah menjalankan tinjauan udara semalam menemui sedikit kesan tumpahan minyak di lokasi kejadian.

“Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut dimaklumkan mengenai penemuan ini dan akan melakukan pemantauan lanjut dalam masa terdekat,” katanya. – Harian Metro

Google ads
Back to top button