
CHERY MALAYSIA RAIKAN PENASIHAT JUALAN BERTAULIAH DAN PENCAPAIAN TERBAIK SELURUH NEGARA
Chery Malaysia baru-baru ini mengadakan Sales Advisors’ Appreciation Dinner sebagai tanda penghargaan kepada pasukan penasihat jualannya di seluruh negara atas dedikasi dan profesionalisme yang ditunjukkan sepanjang tahun.
Majlis tersebut turut meraikan kejayaan 77 penasihat jualan yang menamatkan Chery Certified Sales Professional (CCSP) Programme – satu program latihan khas yang dibangunkan oleh Chery Malaysia bagi meningkatkan kemahiran komunikasi, pengetahuan produk serta kualiti pengalaman pelanggan di bilik pameran.
Program CCSP yang diperkenalkan pada April lalu merupakan latihan intensif wajib bagi semua penasihat jualan yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya enam bulan.
Ia merangkumi penilaian teori dan ujian bersemuka selepas tiga bulan, bagi memastikan peserta benar-benar bersedia untuk membantu pelanggan memilih kenderaan yang paling sesuai dengan keperluan dan gaya hidup mereka.

Naib Presiden Chery Malaysia, Lee Wen Hsiang, berkata latihan berterusan amat penting dalam memastikan pasukan jualan kekal kompeten seiring kemajuan teknologi dan produk syarikat.
“Penasihat jualan adalah wajah sebenar jenama Chery. Pengetahuan, keyakinan dan keupayaan mereka memberi panduan tepat kepada pelanggan memainkan peranan besar dalam membentuk pengalaman pemilikan Chery.
“Justeru, latihan seperti CCSP amat penting bagi memastikan pelanggan menerima maklumat tepat, nasihat jujur dan layanan profesional setiap kali mereka melangkah ke bilik pameran,” ujar beliau.
Beliau turut menegaskan bahawa komitmen Chery Malaysia bukan sahaja terletak pada pembangunan produk, tetapi juga dalam membina jaringan jualan yang berpengetahuan luas, berorientasikan pelanggan dan berprestasi tinggi.
“Apabila kami memperkenalkan teknologi baharu seperti sistem Chery Super Hybrid, keutamaan kami tetap kepada manusia di sebalik kejayaan ini, memastikan setiap inovasi disampaikan dengan kefahaman, semangat dan dedikasi kepada pelanggan,” tambahnya.
Susulan kejayaan pusingan pertama, Chery Malaysia kini memulakan kohort kedua CCSP pada awal Oktober, selaras dengan matlamat untuk melahirkan pasukan jualan profesional.
Selain itu, Chery turut mengumumkan bakal memperkenalkan Chery Super Hybrid Expert Programme, inisiatif baharu yang bertujuan melatih penasihat jualan pakar dalam teknologi Chery Super Hybrid (CSH).
Program ini akan menggabungkan latihan teori dan praktikal dalam sistem hibrid, komunikasi jualan serta kepimpinan, dengan sasaran sekurang-kurangnya seorang pakar CSH di setiap bilik pameran Chery di Malaysia.
Dalam majlis penghargaan tersebut, Chery Malaysia turut memberi pengiktirafan kepada 20 penasihat jualan terbaik dari seluruh negara, meliputi zon Tengah, Utara, Selatan, Pantai Timur, Sabah dan Sarawak.
Antara penerima anugerah tertinggi ialah Ivy Tan Shiuh Ling dari Chery Bukit Mertajam, Sim Kee Hong dari Chery Ampang, dan Lim Kok Chuan dari Chery Bukit Puchong.
- BACA: NISSAN AUTODJ – SISTEM AI PANDAI BERBUAL DALAM BENTUK PATUNG DALAM KERETA!
- BACA: RASMI: SUPERMOPED MODENAS Z15GT DILANCARKAN – 16.7HP, RM8,288
- BACA: AKPS SEDIA JALIN KERJASAMA DENGAN JPJ TANGANI ISU ‘ULAT’ DI KLIA
- BACA: “JANGAN BIMBANG!” – CHINA TENANGKAN INDONESIA ISU HUTANG PROJEK KERETA API LAJU WHOOSH








