
RASMI: SUPERMOPED MODENAS Z15GT DILANCARKAN – 16.7HP, RM8,288
MODENAS dengan rasminya melancarkan supermoped 150cc yang ditunggu-tunggu untuk pasaran Malaysia menerusi Modenas Z15GT yang boleh didapati dengan harga jualan RM8,288.
Enjin

Seperti yang telah pun dilaporkan sebelum ini, ZT15G digerakkan enjin satu silinder 149.5cc DOHC dengan sistem penyejukan cecair yang berupaya menjana 16.7hp pada 9,500rpm dan 13.5Nm pada 7,500rpm. Kuasa disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi manual 6-kelajuan.

Menariknya, enjin tersebut dilengkapi dengan oil-filter bermakna pertukaran oil-filter perlu dilakukan setiap kali servis minyak enjin dilakukan.
Menurut MODENAS, enjin tersebut telah menjalani ujian ketahanan lebih 20,000km oleh pihak Kawasaki Jepun dan ketika ujian di Austria.
Casis dan suspensi

Antara daya tarikan utama Z15GT adalah berat (basah) yang hanya 128kg sekaligus sesuai untuk semua jenis penunggang termasuk lelaki dan wanita. Ketinggian tempat duduk pula adalah 780mm.
Pakej suspensi terdiri dari fork teleskopik di hadapan dan monoshock belakang yang dibekalkan KYB.
Namun begitu, kelebihan utama Z15GT berbanding pesaing lain dalam segmen sama adalah saiz tangki bahan api yang berkapasiti 5.7L.
Reka bentuk

Reka bentuk Z15GT diilhamkan sepenuhnya dari DNA Sugomi oleh Kawasaki yang menerapkan bentuk yang tajam, agresif dan berani. Antara ciri yang dipinjamkan termasuk reka bentuk gril ala Ram-Air yang terdapat pada jentera Kawasaki.

Modenas memaklumkan bahawa ZT15GT ini mendapat ilham daripada ikan arowana terutamanya bahgian panel hadapan yang menempatkan lampu LED dengan DRL.
Ciri dan elektronik

Sebagai sebuah motosikal 150cc moden, Z15GT ini tampil dengan ciri keselamatan terkini termasuk ABS yang didatangkan secara standard. Penunggang juga boleh mengecas peranti dengan slot pengecas USB Type-A.
Pencahayaan LED penuh ditawarkan pada lampu hadapan dan belakang termasuk lampu isyarat serta DRL (daytime running light). Motosikal ini juga mengguna pakai sistem smart key (keyless) dan paparan meter digital LCD.

Menariknya, Z15GT ini juga didatangkan dengan fungsi lampu kecemasan (hazard light).
Bagi pasaran tempatan, MODENAS Z15GT ini hadir dengan tiga warna pilihan, Graphite Grey, Nardo Grey dan Rosso Red.
GALERI: MODENAS Z15GT








































