
CHERY RAIH ANUGERAH KESELAMATAN TERBANYAK DI ASEAN NCAP GRAND PRIX 2026
Chery mencatat pencapaian membanggakan apabila meraih jumlah anugerah tertinggi pada ASEAN NCAP Grand Prix Awards 2026, sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam aspek keselamatan kenderaan di rantau Asia Tenggara.
Pengiktirafan pada edisi keenam acara itu menyaksikan model Chery TIGGO 7 mendominasi dengan empat anugerah utama, termasuk Prestasi Keselamatan Terbaik bagi kategori Bantuan Keselamatan, Perlindungan Penumpang Dewasa dan Keselamatan Penunggang Motosikal, selain anugerah Kecemerlangan SUV Terbaik.
Chery turut menerima Anugerah Kecemerlangan bagi Pengeluar dengan Penarafan Lima Bintang Terbanyak sepanjang tempoh 2021 hingga 2025, berdasarkan penilaian ASEAN NCAP.
Pencapaian itu menyusuli prestasi cemerlang TIGGO 7 PHEV yang memperoleh 94.68 mata dalam penilaian ASEAN NCAP pada Disember 2025, sekali gus melayakkannya menerima penarafan keselamatan lima bintang.

Di bawah protokol penilaian ASEAN NCAP 2021–2025, model berkenaan memperoleh markah penuh 40 mata bagi Perlindungan Penumpang Dewasa, manakala kategori Perlindungan Penumpang Kanak-kanak mencatatkan 17.18 mata.
TIGGO 7 PHEV turut meraih 20 mata bagi Bantuan Keselamatan dan 17.50 mata untuk Keselamatan Penunggang Motosikal.
Model itu dilengkapi pelbagai teknologi keselamatan aktif dan pasif, sistem bantuan pemanduan pintar serta struktur badan yang direka bagi meningkatkan perlindungan pemandu, penumpang dan pengguna jalan raya lain.
Naib Presiden Eksekutif Chery Corporate Malaysia, Men Lin Bo berkata, pengiktirafan ASEAN NCAP menjadi dorongan kepada syarikat untuk terus meningkatkan tahap keselamatan dalam pembangunan kenderaan.
Menurutnya, Chery komited menawarkan model yang dilengkapi teknologi terkini serta memenuhi piawaian keselamatan tinggi bagi memberikan keyakinan kepada pelanggan.
ASEAN NCAP Grand Prix Awards 2026 dianjurkan bersama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan berlangsung seiring Kursus Keselamatan Kenderaan ke-9 di Sepang.
Majlis itu menghimpunkan pakar keselamatan kenderaan, pengeluar automotif, penggubal dasar serta pemain industri bagi memperkukuh usaha meningkatkan standard keselamatan jalan raya di rantau ASEAN.
Chery berkata keselamatan kekal sebagai antara keutamaan dalam pembangunan produknya, seiring usaha memperluas kehadiran jenama itu di pasaran global termasuk Malaysia.








