Buletin

CHERY SIAPKAN STRUKTUR FASA 1 KILANG PEMASANGAN BAHARU DI LEMBAH BERINGIN

Chery Corporate Malaysia Sdn Bhd mencatat satu lagi pencapaian penting dalam pengembangan operasinya di Malaysia apabila meraikan majlis “topping-out” bagi Fasa 1 Chery Smart Auto Industrial Park di Lembah Beringin, Selangor.

Majlis tersebut menandakan siapnya struktur utama kilang pemasangan yang bakal menjadi fasiliti terbesar Chery di negara ini, sekali gus memperkukuh komitmen jangka panjang syarikat itu terhadap industri automotif tempatan serta peranan Malaysia sebagai hab strategik serantau.

Dibangunkan di atas kawasan seluas 200 ekar dengan nilai pelaburan mencecah RM2.2 bilion, taman industri pintar itu dijangka memainkan peranan besar dalam memperkukuh kehadiran Chery di Malaysia dan rantau ASEAN.

Ketika ini, portfolio pelbagai jenama di bawah Chery seperti Chery, OMODA JAECOO, iCAUR serta jenama baharu Lepas terus menerima sambutan positif daripada pengguna tempatan, sekali gus meningkatkan pengiktirafan terhadap jenama tersebut.

Apabila siap sepenuhnya kelak, fasiliti itu bakal memperluas keupayaan syarikat dalam aspek pemasangan kenderaan, inovasi serta penghantaran kepada pelanggan, selain menyokong strategi pengembangan pelbagai jenama syarikat.

Kilang berkenaan dibangunkan di sepanjang koridor automotif Selangor dan kerja pembinaan dimulakan sejurus selepas majlis pecah tanah pada tahun 2025.

Selepas siap struktur utama, projek Fasa 1 Chery Smart Auto Industrial Park akan memasuki peringkat kerja dalaman, pemasangan sistem dan persediaan operasi sebelum dijangka mula beroperasi tahun depan.

Pengarah Kanan Strategi Produk dan Jualan Fleet Chery Corporate Malaysia, Michael Chew berkata majlis topping-out itu menjadi simbol keyakinan syarikat terhadap potensi pasaran Malaysia sebagai pusat pertumbuhan utama di rantau ini.

Katanya, fasiliti berkenaan bakal menjadi tunjang penting kepada strategi pertumbuhan jangka panjang Chery di ASEAN selain menyumbang kepada pembangunan industri automotif negara.

Google ads
Back to top button