CONTINENTAL TYRES TAWAR PENYELESAIAN DIGITAL Conti360º KEPADA PENGENDALI FLEET DI MALAYSIA
Continental Tyres, pengeluar tayar terkemuka Jerman kini menawarkan rangkaian perkhidmatan dan penyelesaian digital Conti360º kepada pengendali kenderaan fleet komersial bagi membolehkan mereka menguruskan tayar kenderaan dengan lebih cekap sambil mengurangkan kos minyak dan jarak perjalanan tayar.
Pengendali kenderaan komersial menghadapi pelbagai cabaran dalam menguruskan fleet bersaiz besar. Mereka sentiasa perlu memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan baik, kos operasi minimum serta penghantaran barang tepat pada masanya.
Justeru, tayar memainkan peranan penting bagi mencapai tujuan ini. Tekanan angin tayar yang sesuai akan menjamin tahap penggunaan minyak, jarak perjalanan optimum serta meningkatkan nilai selongsong tayar (casing value).
Kajian yang dilakukan oleh Continental di Malaysia menunjukkan bahawa 20 peratus tayar kenderaan fleet mempunyai tekanan angin jauh lebih rendah daripada yang diperlukan. Manakala 38 peratus lagi adalah pada tekanan angin lebih rendah yang sederhana.
Keadaan ini bukan sahaja dapat menyebabkan kerosakan tayar, pembaziran dari segi jarak perjalanan tayar dan minyak, malah meningkatkan risiko kerosakan tayar di jalan raya. Continental menganggarkan bahawa kenderaan yang berjalan sejauh 100,000km dengan tayar yang kurang 10 peratus tekanan angin akan meningkatkan kos minyak dan kos jarak perjalanan sehingga RM3,100 setiap tahun.
Conti360º menawarkan 3 perkhidmatan & penyelesaian kepada pengendali fleet
Menurut Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), salah satu daripada lima faktor utama berlakunya kemalangan membabitkan kenderaan komersial berat ada kaitan dengan masalah tayar. Jadi, Conti360º menawarkan rangkaian perkhidmatan dan penyelesaian yang komprehensif bagi membantu pengendali fleet komersial menangani cabaran pengurusan tayar supaya mereka dapat menumpukan fokus pada perniagaan mereka.
Conti360º menawarkan tiga perkhidmatan dan penyelesaian iaitu Perkhidmatan Teras, Perkhidmatan Lanjutan dan Penyelesaian Digital. Ia merangkumi pelbagai penyelesaian termasuk latihan, perkhidmatan sokongan di lokasi dan pemantauan tayar secara masa serentak bagi membantu pengurus fleet meningkatkan kecekapan operasi.
Menerusi Perkhidmatan Teras Conti360º, pasukan teknikal Continental akan menganalisis keadaan tayar untuk membekalkan maklumat terperinci tentang prestasi tayar. Selain amalan terbaik yang dilakukan oleh industri tentang penyelenggaraan dan pengendalian tayar yang cekap, serta latihan khusus untuk pemandu.
Modul latihan tersebut tertumpu kepada kepentingan tabiat memandu, pengendalian tayar yang cekap dan amalan penyelenggaraan tayar, serta keutamaan untuk mengekalkan tekanan angin pada tahap yang sesuai.
Dengan Perkhidmatan Lanjutan Conti360º, pengendali fleet dapat melakukan permeriksasan komprehensif kesihatan tayar melalui ContiFleetCheck. Pasukan teknikal Continental akan menjalankan pemeriksaan rutin dengan peralatan digital canggih yang akan menyampaikan data kepada sistem maklumat untuk memperolehi analisis keadaan tayar, seperti tekanan angin dan kedalaman bunga tayar.
Perkhidmatan secara langsung ini membolehkan pengurus fleet mengetahui keadaan keseluruhan dan terperinci tentang kecekapan tayar. Ini termasuklah mengenal pasti punca lazim kerosakan tayar dan cara untuk mengurangkan kos, sekali gus mencadangkan langkah untuk memanjangkan jangka hayat tayar.
Penyelesaian Digital Conti360º pula merupakan penyelesaian automasi menyeluruh yang melibatkan pemasangan sensor pada tayar kenderaan bagi memantau penggunaan tayar di jalan raya sepanjang masa.
Pengendali fleet akan menerima makluman menerusi portal dalam talian serta paparan análisis tentang kebarangkalian tayar pancit, kehilangan tekanan angin, kedalaman bunga tayar dan sebagainya. Ia bertujuan bagi membantu mereka mengendalikan tayar, memanjangkan jangka hayat tayar dan meningkatkan keselamatan di jalan raya.
“Meskipun tayar hanya menyumbang 5% kepada kos fleet, ia mempengaruhi sekitar 50% kos operasi fleet menerusi penggunaan minyak, pembaikan & penyelenggaraan serta pengurusan. Justeru, Conti360º diperkenalkan khas untuk mengurangkan kos tersebut dengan tiga rangkaian perkhidmatan dan penyelesaian yang mampu memenuhi pelbagai keperluan pelanggan, bergantung kepada saiz fleet dan keadaan operasi mereka.
“Pelanggan yang telah menggunakan Conti360º memperoleh penjimatan kos minyak sehingga 3 peratus dan peningkatan jarak perjalanan tayar sebanyak 20 peratus. Di samping menikmati peningkatan yang ketara dalam keselamatan kenderaan dan pemandu,” kata Pengurus Jualan Nasional Trak Tayar di Continental Malaysia, Winson Khoo Han Kee.