
KENAPA TAYAR EV MAHAL?
Kereta elektrik (EV) sering dianggap lebih menjimatkan berbanding kereta enjin pembakaran dalaman (ICE) kerana tidak memerlukan petrol atau diesel, selain mempunyai kos penyelenggaraan yang lebih rendah. Namun terdapat satu aspek pemilikan yang mungkin kurang diberi perhatian oleh pembeli EV iaitu kos penggantian tayar.
Sebenarnya tayar untuk kereta elektrik boleh menjadi lebih mahal berbanding tayar kereta konvensional. Malah tayar EV juga berpotensi mengalami kehausan lebih cepat disebabkan beberapa faktor yang berkait rapat dengan reka bentuk dan karakteristik sistem pemanduan elektrik.
Menurut laporan bagi pasaran Amerika harga satu set tayar khusus untuk EV boleh mencecah antara AS$1,000 hingga AS$2,500 (sekitar RM4,100 hingga RM10,300) bergantung kepada saiz, jenama dan spesifikasi tayar yang digunakan. Salah satu sebab utama tayar EV lebih mahal ialah keperluan untuk menampung berat kenderaan yang lebih tinggi.
Pek bateri berkapasiti besar yang dipasang pada bahagian bawah lantai menjadikan kebanyakan EV lebih berat antara 400 ke 600 kg berbanding kereta petrol atau diesel dengan saiz yang setara. Berat tambahan ini memberikan beban lebih tinggi kepada tayar, terutama ketika membrek, mengambil selekoh dan melalui permukaan jalan yang tidak rata.

Jadi pengeluar tayar perlu menggunakan struktur yang lebih kuat bagi memastikan tayar mampu menampung berat kenderaan tanpa menjejaskan aspek keselamatan dan pengendalian. Selain itu karakteristik motor elektrik turut menyumbang kepada masalah kehausan tayar.
Berbeza dengan enjin pembakaran dalaman, motor elektrik mampu menghasilkan tork maksimum sebaik sahaja pedal pemecut ditekan. Penghantaran kuasa yang segera ini membolehkan EV memecut dengan pantas, tetapi pada masa sama memberikan tekanan lebih tinggi kepada permukaan tayar.
Jika pemandu kerap melakukan pecutan agresif, tayar berpotensi mengalami kehausan lebih cepat berbanding penggunaan biasa. Sebagai contoh dalam laporn Michelin sebelum ini turut menjelaskan bahawa tayar kenderaan elektrik boleh mengalami kehausan sehingga 20 peratus lebih cepat berbanding tayar kereta konvensional dalam keadaan pemanduan sama.
Faktor seterusnya ialah keperluan untuk mengurangkan rintangan gelinciran atau rolling resistance. Pengeluar tayar EV memberikan perhatian khusus kepada aspek ini kerana rintangan gelinciran yang lebih rendah membantu mengurangkan penggunaan tenaga dan meningkatkan jarak pemanduan dengan sekali cas.
Bagaimanapun, pembangunan tayar yang perlu mengimbangi kecekapan tenaga, cengkaman dan ketahanan bukanlah sesuatu yang mudah. Pengeluar perlu menggunakan campuran getah dan reka bentuk bunga tayar yang sesuai supaya prestasi keseluruhan masih memenuhi keperluan sesebuah EV yang lazimnya menggabungkan sebatian khas polimer yang jauh lebih mahal

Satu lagi ciri yang sering ditemui pada tayar khusus EV ialah penggunaan teknologi untuk mengurangkan bunyi. Memandangkan kereta elektrik tidak menghasilkan bunyi enjin seperti kenderaan konvensional, bunyi daripada sentuhan dan golekan tayar dengan permukaan jalan menjadi lebih ketara di dalam kabin.
Sesetengah pengeluar menyelesaikan masalah ini dengan memasang lapisan penyerap bunyi pada bahagian dalam tayar. Teknologi tersebut membantu mengurangkan bunyi yang memasuki ruang kabin, tetapi turut menambah kerumitan dan kos pengeluaran tayar.
Dari segi jangka hayat, pemilik EV mungkin perlu menukar tayar selepas perjalanan sekitar 20,000 hingga 40,000 kilometer, bergantung kepada jenis tayar, berat kenderaan, gaya pemanduan dan keadaan jalan. Tetapi angka ini bukan jangka hayat tetap untuk semua EV kerana tayar yang digunakan serta penjagaan berkala turut memainkan peranan penting.
Walaupun begitu, keadaan ini tidak bermaksud semua pemilik EV perlu menggunakan tayar yang mempunyai label khusus kenderaan elektrik. Tayar konvensional juga boleh digunakan sekiranya memenuhi spesifikasi yang ditetapkan pengeluar kenderaan seperti indeks beban, indeks kelajuan dan saiz yang betul.
Pemilik juga boleh memanjangkan jangka hayat tayar dengan memastikan tekanan angin sentiasa berada pada paras disyorkan, melakukan penjajaran roda dan pengimbangan tayar secara berkala serta mengamalkan pemanduan yang lebih lancar. EV mungkin menjimatkan perbelanjaan petrol, tetapi pemilik masih perlu menyediakan bajet yang munasabah untuk penggantian tayar apabila tiba masanya.
Penjimatan menggunakan kereta elektrik tidak seharusnya dinilai berdasarkan kos tenaga dan penyelenggaraan sahaja. Kos penggantian tayar juga perlu diambil kira kerana berat bateri, penghantaran tork serta keperluan mengurangkan bunyi dan rintangan gelinciran menjadikan tayar EV satu komponen yang mempunyai tuntutan kejuruteraan tersendiri.









