
JANGAN GUNA KIT PEMBAIKAN TAYAR!!!!
Kebanyakan kereta moden termasuklah kenderaan elektrik (EV) kini tidak lagi dilengkapi tayar ganti. Sebaliknya pengeluar membekalkan kit pembaikan tayar yang mengandungi cecair sealant dan pemampat udara sebagai penyelesaian kecemasan apabila tayar bocor.
Walaupun kit ini kelihatan praktikal dan senang untuk disimpan di ruang kargo dengan saiz yang kompak, seorang mekanik berpengalaman memberi amaran bahawa ia tidak seharusnya digunakan sebagai langkah utama dalam situasi kecemasan kerana boleh menyukarkan proses pembaikan tayar di bengkel.
Menurut laporan Drive Australia, kit pembaikan tayar sebenarnya direka sebagai pilihan terakhir bagi membolehkan pemandu meneruskan perjalanan ke bengkel terdekat. Ia bukan bertujuan menjadi penyelesaian kekal kepada masalah tayar bocor.
Sebaik sahaja sealant disuntik ke dalam tayar, cecair tersebut akan meliputi sebahagian besar ruang dalam tayar untuk menutup kebocoran dan mengekalkan tekanan udara buat sementara waktu.
Walaubagaimanapun sebenarnya penggunaan sealant boleh menyebabkan proses pembaikan menjadi lebih rumit. Sebelum sebarang pemeriksaan atau tampalan dilakukan, juruteknik perlu membersihkan sisa sealant yang melekat pada bahagian dalam tayar dan rim.
Proses ini mengambil masa tambahan juruteknik dan sesetnegah bengkel akan mengenakan kos tambahan untuk kerja pembaikan, malah terdapat bengkel yang memilih untuk tidak membaiki tayar yang telah dipenuhi sealant.

Oleh yang demikian, jika kebocoran berlaku akibat terkena paku dan tayar masih mempunyai sedikit tekanan udara, langkah terbaik yang boleh dilakukan oleh pemandu ialah dengan mengepam semula tayar menggunakan pemampat udara dan terus memandu ke bengkel berhampiran tanpa menggunakan sealant.
Selain menjimatkan masa pemandu, langkah ini juga memudahkan juruteknik mengenal pasti lokasi kebocoran dengan lebih pantas dan melakukan pembaikan secara kekal tanpa perlu membersihkan sisa cecair terlebih dahulu.
Pada masa sama keupayaan kit pembaikan tayar juga mempunyai had penggunaannya. Ia hanya berkesan untuk kebocoran kecil pada bahagian bunga tayar (tread). Jika tayar mengalami koyakan pada bahagian sisi (sidewall), lubang yang terlalu besar atau rosak akibat menghentam lubang jalan, sealant tidak mampu menutup kerosakan tersebut.
Dalam keadaan seperti ini, tayar biasanya perlu diganti dan kenderaan mungkin memerlukan bantuan trak tunda untuk bergerak dari lokasi insiden ke bengkel yang terdekat. Walaupun kedengaran leceh, ini adalah jauh lebih selamat dari memandu dengan menggunakan tayar tanpa tekanan udara dan akhirnya merosakkan tayar.

Selain itu, tayar yang telah kehilangan tekanan udara sepenuhnya atau dipandu dalam keadaan kempis berisiko mengalami kerosakan pada struktur dalaman. Walaupun kebocoran asal mungkin kecil, tayar tersebut masih perlu dibuka daripada rim dan diperiksa oleh juruteknik bagi memastikan ia masih selamat digunakan.
Oleh itu, kit pembaikan tayar wajar dianggap sebagai alat kecemasan dan jalan terakhir untuk keluar dari situasu mendesak, bukannya penyelesaian utama setiap kali tayar bocor. Pengguna hanya disarankan menggunakannya apabila tiada pilihan lain dan perlu meneruskan perjalanan ke lokasi yang selamat atau bengkel berhampiran.
Bagi pemilik EV yang tidak dibekalkan tayar ganti, memahami fungsi dan had kit pembaikan tayar adalah sangat penting. Dalam kebanyakan situasi, terutama jika kebocoran hanyalah disebabkan paku kecil, mengisi semula angin dan terus ke bengkel mungkin merupakan pilihan yang lebih baik berbanding menggunakan sealant, sekali gus memudahkan proses pembaikan dan mengelakkan kos tambahan.





