Buletin

DAIHATSU TANTO RAMPAS DOMINASI HONDA N-BOX DI JEPUN

Kei-kar Daihatsu Tanto mengungguli ranking jualan kereta baharu di Jepun pada November 2019, sekali gus mengambil alih tempat yang dikuasai oleh Honda N-Box selama 27 bulan berturut-turut. 

Dalam data industri yang dikeluarkan oleh Persatuan Pengedar Automobil Jepun semalam, jualan Tanto meroket sebanyak 90 peratus dari tahun ke tahun kepada 21,096 unit.

Sementara Honda N-Box berada di tempat kedua dengan jualan sebanyak 18,806 unit, turun 3.5 peratus. Honda bagaimanapun menyatakan jumlah jualannya masih kekal kukuh.  

Tempat ketiga pula dihuni oleh Suzuki Spacia (12,820 unit), diikuti oleh Nissan Dayz dengan 12,137 unit. 

Tanto yang menerima perubahan signifikan pada Julai lalu menarik perhatian pengguna yang mempunyai anak kerana praktikaliti dan harga mampu milik. 

“Reputasinya dari segi prestasi dan harga telah tersebar luas menerusi mulut ke mulut,” kata seorang pegawai Daihatsu. 

Di Jepun, Tanto ditawarkan dalam dua varian iaitu Tanto X dan Tanto Custom RS yang lebih sporty.

Model baharu itu dibina di atas platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), sama seperti Mira:es dan Mira Tocot. Antara ciri istimewa Tanto ialah ruang kabin yang membolehkan penumpang berjalan di antara tempat duduk. 

Dari segi keselamatan, kei-kar itu dipasang dengan pelbagai sistem bantuan pemandu seperti Lane Keep Control (LKC), Adaptive Cruise Control (ACC) dan Smart Panorama Parking Assist. 

Jentera itu digerakkan oleh enjin turbo bersesaran 660cc yang mampu menjana kuasa 64PS dan tork 92Nm. Ia kemudian dipadankan dengan kotak gear CVT bersama pacuan dua atau empat roda. 

Google ads
Back to top button