Buletin

DAIHATSU LANCAR SUV BARU NOV INI. INIKAH SUV PERODUA AKAN DATANG?

Umum mengetahui Proton akan melancarkan SUV kedua mereka X50 tahun depan. Ia adalah model lebih kecil, segmen B dalam pasaran yang akan berentap dengan HR-V, CX-3, ASX, CH-R dan inilah pasaran yang sedang “panas” sekarang.

Beberapa bulan lalu, kami “mendengar” bahawa Perodua juga sedang mengusahakan produk SUV baharu yang lebih kecil untuk pasaran Malaysia. Meskipun baru melancarkan Aruz (yang memang sedia dalam segmen B), sumber industri memberitahu bahawa Perodua mempunyai perancangan untuk kekal dalam pasaran kerana mereka percaya SUV Proton X50 nanti akan dijual lebih rendah.

Ia sudah tentu akan mengganggu sedikit sebanyak pasaran kereta-kereta sub RM100K . Perodua perlu mengisi kekosongan SUV lebih kecil bagi pasaran ini dan dijual pada julat harga antara Alza/Myvi Premium dan Aruz.

Seorang penulis automotif Jepun telah mengumpulkan informasi dari segala sumber yang ada tentang SUV kompak Daihatsu yang akan datang dan bila ia akan dilancarkan.

Ia bakal dilancarkan selepas Tokyo Motor Show!

Sumber dari pengedar Toyota Jepun mengatakan yang sebuah SUV kompak yang bersaiz lebih kecil dari CH-R bakal dilancarkan dan ianya merupakan model rebadge daripada Daihatsu.

Pada mulanya maklumat tersebut dinafikan oleh pihak pengedar Daihatsu tetapi kemudian situasi berubah. Mereka menyatakan kemungkinan model DN TREC yang dipertontonkan pada TAS 2017 mungkin akan memasuki fasa pengeluaran. Malah pada musim luruh tahun lepas juga salah seorang pengurus pembangunan Daihatsu menyatakan pembangunan model baru sudahpun berjalan tetapi tarikh pelancarannya masih belum dapat dipastikan.

Buat masa sekarang ia berkemungkinan besar akan dikeluarkan dalam keadaan menyamai model konsep asal. ia juga bakal menggunakan platform generasi baru dari Daihatsu yang dinamakan DNGA. Ia merupakan satu ciri yang buat pertama kalinya diperkenalkan melalui model daihatsu Tanto.

Rekaan luaran menggunakan konsep rekaan SUV biasa dengan gabungan garis-garis lurus dengan lekukan pada bahagian yang diperlukan, Bahagian hadapan pula menampilkan gril besar berbentuk sarang lebah lengkap dengan dua lampu utama LED.

Bahagian belakang pula menampilkan lampu belakang yang juga mempunyai corak sarang lebah lengkap dengan spoiler pada bahagian bumbung. Ia merupakan sebuah SUV 5-tempat duduk dan mempunyai kemasan yang cukup ringkas dan masih lagi dengan corak bermotifkan sarang lebah di bahagian dalam kabin.

Model konsep menggunakan tayar-tayar bersaiz 215 55 R15 dan dengan sport rim yang elegan dan semestinya untuk produksi ia akan ditawarkan dengan rim aluminium dengan pilihan warna luaran dua tona ala SUV. Beberapa bahagian biasanya akan diwarnakan dengan warna berbeza untuk menyerlahkan lagi ciri SUV pada model ini.

Ia dikuasakan oleh enjin 1.2-liter hibrid untuk model konsep tetapi sebaik diproduksikan ia sepatutnya menggunakan enjin 1L 3-selinder NA ataupun turbo. ia juga mungkin akan didtawarkan dalam versi 4WD dan juga FF manakala kotak gearnya juga dikatakan menggunakan sistem CVT terbaru.

Selain daripada itu ia juga bakal dilengkapkan dengan sistem keselamatan Smart Assist generasi baru sama seperti Daihatsu Tanto. Model yang bakal dipasarkan dijangka dipamerkan pada Tokyo Motor Show akan datang dan kempen untuk menarik minat pelanggan bakal menyusul selepas itu.

Tidak mustahil kereta ini akan menjadi tarikan utama di ruang pameran Daihatsu pada Tokyo Motor Show kelak. Mungkin ia juga akan menjelma sebagai salah sebuah SUV kompak terbaru Perodua yang akan membolehkan mereka merebut pasaran yang kini semakin dikuasai oleh Proton?

Google ads
Back to top button