Buletin

KEMBAR SUV PERODUA, TOYOTA RAIZE TERJUAL 32,000 UNIT SEBULAN!

Oktober lalu kami berada di Jepun untuk membuat liputan Tokyo Motorshow dan salah satu “bintang” yang mendapat perhatian media dari Malaysia ialah model ini – sebuah SUV yang tiada nama ketika dipamerkan pada hari pembukaan pameran automotif tersebut.

Ia diletakkan di petak Daihatsu, subsidiari syarikat Toyota dan bukannya di petak pameran Toyota. Toyota mengumumkan namanya. Jika Daihatsu mendapat nama Rocky, versi Toyota dikenali sebagai Raize.

Dan ini pula berita terbaru.

Menurut data yang dikeluarkan oleh Toyota Jepun, Raize terjual lebih 32,000 unit pada bulan pertama ia dilancarkan. Ia melebihi LAPAN kali sasaran asal Toyota iaitu cuma 4,100 unit sahaja.

Menurut laporan jualan, hampir 70 peratus pembeli memilih spesifikasi penuh iaitu spec Z sementara bakinya memilih spesifikasi rendah atau gred G.

Tapi nanti dulu. Bagaimana di sebuah negara yang telah “matang” industri automotifnya boleh terjadi jualan dengan anka luar biasa begini?

Toyota ada jawapannya.

Menurut Toyota, antara faktor yang menarik minat pembeli Raize ialah rekabentuknya yang kompak tapi ruang dalamannya cukup besar.

Crossover kecil ini dibina di atas platform Daihatsu New Global Architechture (DNGA). Ia lebih kecil dari C-HR dengan ukuran 3,995mm panjang, 1,695mm lebar dan 1,620mm tinggi.

Walaupun lebih kecil, ia menawarkan kapasiti bagasi dan bahagian dalaman yang luas. Ruang bagasinya menampung 369 liter malah ruang kelegaan kepala, kaki dan bahu juga agak bagus untuk sebuah SUV kelas A begini.

Menurut Toyota lagi, tarikan lain ialah ciri-ciri keselamatan yang dipasangkan padanya. Antaranya ialah Smart Assist System, Panoramic parking assistance, forward vehicle / pedestrian detection warning, accidental accelerator pedal warning, lane departure warning, dan pelbagai lagi. Pendek kata, ia sebuah kereta kecil yang sarat dengan teknologi “mahal”.

Raize di kuasakan oleh unit enjin baru tiga selinder 1.0 liter dengan pengecas turbo. Ia digandingkan dengan transmisi D-CVT (Dual mode Continuously Variable Transmission) menjadikan ia kereta Toyota pertama yang menggunakan kotak gear Daihatsu yang menggunakan talisawat dan gerigi gear serentak pada kelajuan tinggi untuk ekonomikal bahanapi lebih baik.

Enjin ini menghasilkan 97 kuasa kuda pada 6,000 rpm dan 140 Nm tork pada 2,400rpm.

Purata penggunaan bahanapi ialah 18.6 km/l dalam ujian WLTC untuk model pacuan dua roda. Bagi versi 4WD pula, purata penggunaan bahanapi ialah 17.4 km/l. Sistem 4WD Raize dikenali sebagai Dynamic Torque Control 4WD.

GALERI

Google ads
Back to top button