KEMBAR TOYOTA RAIZE, PERODUA D55L, DAIHATSU ROCKY DILANCARKAN DI JEPUN. HARGA BERMULA RM59K
Selain Toyota Raize, SUV kembarnya iaitu Daihatsu Rocky turut dilancarkan di Jepun pada 5 November lalu. Kedua-dua model ini menarik perhatian ramai kerana didakwa akan menjadi SUV kompak terkini daripada Perodua.
Sama seperti Raize, Rocky dibina di atas platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA).
Ia dikuasakan oleh enjin turbo bersesaran 1.0 liter yang mampu menjana 98PS dan dipadankan bersama kotak gear automatik D-CVT. Kuasa itu kemudian disalurkan ke roda menerusi sistem pacuan roda hadapan (2WD) atau empat roda (4WD).
Padanan itu membolehkan Rocky menawarkan penggunaan bahan api yang agak jimat iaitu sekitar 18.6km bagi setiap liter petrol (2WD) dan 17.4km/l bagi varian 4WD.
Sistem 4WD itu dikenali sebagai Dynamic Torque Control 4WD. Varian tertinggi dikatakan dilengkapi beberapa ciri keselamatan Smart Assist seperti Crash Avoidance Braking Function, Erroneous Start Prevention Function dengan kawalan brek (depan dan mengundur), Adaptive Cruise Control dengan All Speed Tracking dan Smart Panorama Parking Assist.
Rocky tampil dengan gril lebih kecil dan bampar hadapan rekaan baru. Di bahagian belakang pula, perbezaan dengan Raize langsung tidak ketara, selain daripada logonya. SUV itu memiliki dimensi 3,995mm panjang, 1,695mm lebar dan 1,620mm tinggi. Sementara beratnya hanya 980kg dan rim pula bersaiz 17 inci.
SUV yang menggunakan kerangka jenis monokok itu dipasang dengan suspensi topang MacPherson di hadapan dan torsion beam di belakang.
Di ruang kabin, ia cukup identikal dengan apa yang ada pada Raize. Sebuah skrin paparan digital diletakkan di papan pemuka, tombol kawalan pendingin hawa berbentuk bulat serta kemasan krom pada corong pendingin hawa, konsol tengah, stereng dan hendal pintu.
Walaupun nampak kompak, SUV itu mampu menawarkan kargo seluas 369 liter dan ruang untuk penumpang yang selesa.
Untuk pasaran Jepun, Rocky hadir dengan tiga gayaan tersendiri iaitu Powerful Style, Sporty Style dan Elegance Style yang lebih mewah. Pelanggan juga boleh memilih beberapa aksesori tambahan seperti lampu iluminasi pada konsol tengah, pengecas tanpa wayar, bekas kargo, tread plate dan banyak lagi.
Rocky ditawarkan dalam empat varian pada harga bermula RM59,000 hingga RM76,000 seunit.
- BACA: TOYOTA RAIZE. KEMBAR SUV BAHARU PERODUA DIDEDAHKAN LEBIH AWAL?
- BACA: BICARA TEKNIKAL. KENALI APA ITU 4WD DAN AWD
- BACA: DAIHATSU CHARADE – KENALI AYAHANDA MYVI INI
- BACA: DAIHATSU YRV – MINI MPV UNIK DENGAN PENDESAK TURBO
GALERI