
DAIHATSU MIRA PICK-UP!
Ini bukan Kancil, tapi sebuah Daihatsu Mira yang telah dibina semula oleh Iedol Chintaphen dari Shikaku Garage. Alah, yang bikin Mira Walk-Through Van paparan utama hari tu. Seperti kereta tersebut, yang ni juga telah diubahsuai secara total, khusus untuk tujuan pertunjukan.
BACA: DAIHATSU MIRA WALK-THROUGH
Asalnya dapat rangka saja. Dah memang itu yang dia cari. Lepas angkut ke bengkel, ia cuba dibaik pulih seperti kondisi asal. Memandangkan keadaannya yang kurang merecik, Iedol ambik keputusan untuk memotong terus sebahagian bumbung belakang, mirip seperti Mira pikap yang banyak berkeliaran di bumi Thailand.

Potongan dibuat dari bawah cermin tiang pilar B, menjurus ke tiang pilar C. Bagi membentuk ruang pemisah antara kokpit dan kargo, ia dimatikan dengan unit tailgate yang dibentuk semula. Keseluruhan lantai kargo kemudian ditutup dengan kepingan plet besi dan aluminium, termasuk rekaan tailgate baru yang boleh diselak ke bawah.
Iedol memilih kit badan Mira L500 Classic sebagai pelengkap sektor luaran. Banyak betul komponen krom bling-bling yang kelihatan. Juga digunakan, spoiler Mira L512, spoiler tengah Mira L502 pada tailgate belakang, serta unit canvas top manual yang diubahsuai.

Arca ruang roda juga telah dibentuk semula, bagi membolehkan rim terlajak lebar jenis Borbet 15-inci digunakan. Memastikan ia duduk pada jarak yang betul, sistem suspensi menggunakan komponen milik Mira L500 yang diubahsuai. Sementara sektor hentian, dibantu brek cakera Mira L200 di bahagian depan.
BACA: DAIHATSU MIRA LEJEN L500
Sesuai dengan peranannya sebagai kereta berhias, keseluruhan bahagian dalaman diberi tema warna krim lembut, sama ada dicat atau dibalut semula. Ni nak tumpang duduk pun segan.

Bermula dengan penggunaan papan pemuka Mira Opti Classic sebagai asas, ia kemudian diserikan dengan beberapa komponen lain seperti stereng Mira Gino serta sepasang tempat duduk Mira L500 Classic. Aksesori tambahan lain termasuklah karpet Union Jack Mini, karpet dasar merah, bar X kustom serta tombol gear kustom kepala tengkorak.
Proses naik taraf kuasa turut berlaku di mana enjin asal yang entah mana perginya, telah digantikan dengan siri EF-DET dari Mira Gino.

Disebabkan ia tidak dibina untuk tujuan prestasi, tiada sebarang peningkatan dilakukan kecuali pada unit turbonya. Tu pun pasal kong awal. Binaan ekzos menggunakan paip berkembar kustom, yang sengaja dihalakan ke sisi kiri dan kanan kereta.
Boleh ke bikin sampai begini? Kalau guna atas jalan, dah tentu tak boleh. Namun atas maksud mencari kelainan untuk tujuan pertunjukan, kewajaran pengubahsuaiannya tak perlu lagi dipertikaikan…
Spesifikasi
Pemilik Iedol Chintaphen
Pengeluar Daihatsu
Model Mira L70
Tahun 1990
Enjin asal EB 550cc
Modifikasi Enjin EF-DET Mira Gino, turbo TD04-09, injap pelepas HKS SSQV
Transmisi Manual
Ekzos Kustom
Luaran Ruang kargo kustom, kit badan Mira L500 Classic, aksesori krom, spoiler Mira L512, spoiler tengah Mira L502, canvas top manual, arca roda kustom
Suspensi Mira L500
Brek Mira L200
Rim & Tayar Borbet 15-inci & Silverstone FTZ 175/50R-15
Dalaman Papan pemuka Mira Opti Classic, stereng Mira Gino, tempat duduk Mira L500 Classic, karpet Union Jack Mini, karpet dasar merah, bar X kustom, tombol gear kustom
Bengkel Shikaku Garage Sungai Buloh, Nat Garage Prima Damansara
-PAK MAUN-
GALERI

























