Artikel Pilihan

MESIN BERHANTU 3 SELINDER. DAIHATSU CHARADE GTTi !!!

Daihatsu Charade GTTi 1988

Daihatsu. Satu jenama yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Bermula pada tahun 1907, ketika itu masih dikenali sebagai Hatsudoki Seizo Co. Ltd yang memfokuskan kepada pembangunan enjin keretapi dan kenderaan berat. Kemudian pada 1951 syarikat ini melakukan penstrukturan semula dengan menukar nama sebagai Daihatsu Motor Co. Ltd.

Pada tahun 1967, kerajaan Jepun mengumumkan untuk membesarkan pasaran domestik. Oleh itu, pada tahun yang sama Daihatsu mengumumkan kerjasama dengan pihak Toyota.

Selebihnya adalah sejarah. Dan hanya pada tahun 2016 Toyota menguasai 100% syarikat Daihatsu.

Sejarah ringkas diatas menyatakan Daihatsu merupakan syarikat pembangunan enjin pada awalnya. Kemudian meluaskan empayarnya kepada pembuatan kenderaan segmen Kei Cars. Barisan model Kei Cars buatan Daihatsu hanya berjaya menjana keuntungan selepas 1980. Tahniah diucapkan.

Pada tahun 1987, lahirlah sebuah jentera ciptaan manusia yang dinamakan sebagai Daihatsu Charade G100. Kemudiannya, ada sub-model Daihatsu Charade G100 ini dikenali sebagai Daihatsu Charade GTTi. Biasa dengan GT, GTi pun dah gerun. Ni dia bagi lebih, GTTi baqhang.

Model ini mempunyai dua model iaitu untuk pasaran Jepun dan pasaran Eropah. Seiring dengan tanda nama GTTi ini, ramai yang tertanya-tanya apa yang menariknya ketika itu. Baiklah, mari kita mulakan.

Kenderaan ini dilengkapi dengan enjin C -Series berkod CB70 untuk pasaran Jepun dan CB80 untuk pasaran Eropah/Eksport. Enjin ini bersesaran sebesar 993cc 3 silinder. Saya ulang, 3 SILINDER. Nilai Bore x

Stroke enjin ini adalah 76mm x 73mm. Nisbah mampatan pula adalah 7.8:1. Sistem bahan api menggunakan Sistem Pancitan Bahanapi Elektronik(EFI) dengan bantuan Turbo model IHI RHB51 dengan sejukan Air Intercooler. Bila ada turbo, mesti ada boost. Boost tetapan kilang adalah pada kadar 0.75 bar. Hasilnya ?

103hp pada 6,500rpm dan Torque sebanyak 130Nm pada 3,500rpm.

Tuan-tuan, enjin 3 silinder berkapasiti 993cc mampu menghamburkan lebih daripada 100hp pada tahun 1987. Satu kejayaan besar buat Daihatsu. Bukan itu saja, kenderaan ini hanya memerlukan 8.5 saat sahaja untuk memecut 0-100km/h.

Kelajuan tertinggi pula adalah 195km/h sekatan elektronik. Dikatakan ada yang memerah sehingga 214km/h ! Ahhhh. 1987 ! Bawah 10 saat ! 3 silinder ! 993cc. Angka-angka ini membuatkan industri automotif ketika itu kecoh !

Kemudian kenderaan ini dilengkapi dengan transmisi manual 5 kelajuan. Nisbah gear adalah seperti berikut :-
Gear 1 : 3.091
Gear 2 : 1.75
Gear 3 : 1.231
Gear 4 : 0.916
Gear 5 : 0.75
Gear Reverse : 3.142
Saje letak gear reverse punya ratio sebab nanti mesti ada yang tanya. Haha !

Berat kenderaan ini hanyalah 790kg. Ringan ya amat ! Sistem Suspensi pula McPherson Strut di depan dan Independent di belakang. Saiz tayar adalah 175/60R14. Tayar saiz 14 cukup toksah besar-besar.

ABS/EBD/BA ? Takde. Airbag ? Takde. Nak bawa memang kena guna “Pure Driving Skills” kata omputeh. Yang ada cuma Central Locking je. Hahaha.

Antara pesaingnya ketika itu adalah :-
Citroen AX Sport – 1.3Litre 94hp
Fiat Uno Turbo – 1.3Litre 103hp
Ford Fiesta XR-2 – 1.6Litre 94hp
MG Metro Turbo – 1.3Litre 93hp
Nissan March R – 930cc 109hp 4 SILINDER !
Opel Corsa G Si – 1.6Litre 99hp
Peugeout 205 GTI – 1.6Litre 103hp
Perodua Myvi Lagi Best – 1.5Litre 102hp

Kenderaan-kenderaan diatas boleh dikatakan berkuasa pada zamannya namun dengan senangnya Daihatsu Charade GTTi menapau kesemua model diatas dengan enjin 3 silinder beliau.

Kemudian, enjin 3 silinder ini dinobatkan sebagai enjin 3 silinder paling berkuasa di dunia sehinggalah dirampas oleh Ford Ecoboost 1.0 yang berkuasa 136hp.

Tuan-tuan. Inilah lagenda 3 silinder yang sebenar. Kecil, power, ringan. Apa lagi nak?. Turbo pula tu. Lagenda ini menjadikan Daihatsu meletakkan nama mereka sebaris dengan pengeluar-pengeluar kenderaan utama.

Lagenda ini harus kita hormati dan kita jadikan rujukan untuk masa hadapan. Tiada yang lama, tiadalah yang baru.

Terima Kasih Daihatsu !

Google ads
Back to top button