Artikel PilihanBuletin

DAIMLER DAN GEELY BAKAL TEROKA PASARAN RIDE-HAILING PREMIUM DI CHINA

Perkhidmatan Mobiliti Daimler dan Geely Group Company, entiti perniagaan baru Geely Holding Group, hari ini mengumumkan bahawa mereka akan membentuk usahasama gabungan yang menarik di China. Usaha sama 50-50 ini akan beribu pejabat di Hangzhou.

Usaha sama ini bertujuan menyediakan perkhidmatan mobiliti ride-hailing di beberapa bandar raya China menggunakan kenderaan premium. Peringkat awal perkhidmatan ini akan melibatkan model Mercedes-Benz S-Class, E-Class, V-Class dan kenderaan Maybach dan kemudiannya akan ditambah dengan kenderaan elektrik premium Geely Group.

Terma kewangan dan pelan pelaburan JV belum didedahkan pada peringkat ini dan perlaksanaan usahasama ini tertakluk kepada persetujuan oleh pihak berkuasa tempatan.

Klaus Entenmann, Ketua Pegawai Eksekutif Daimler Financial Services AG, berkata: “Daimler berada pada kedudukan yang ideal untuk meneruskan transformasinya dengan memperluaskan syarikat perkhidmatan mobiliti komprehensif ketika kami membuka jalan untuk pemanduab autonomi. Dengan Geely Group, kami telah menemui rakan kongsi yang sangat baik untuk memperluaskan perkhidmatan mobiliti kami di China. Usaha sama itu akan memainkan peranan penting kerana kami akan membesarkan portfolio dan kehadiran global kami dan mengukuhkan kedudukan kami dalam pasaran mobiliti”

An Conghui, Presiden Geely Holding, berkata: “Kami sangat gembira menepati terma kerjasama dengan Daimler Mobility Services. Perkembangan perkhidmatan sedemikian, di mana kedua-dua syarikat sudah mempunyai kekuatan sendiri, merupakan sebahagian daripada transformasi kami dari pengeluar kenderaan menjadi kumpulan teknologi automotif global. ”

Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman di Ibu Pejabat Daimler di Stuttgart telah dihadiri oleh An Conghui, Presiden Geely Holding, dan Liu Jinliang, Presiden Geely Group Company, bahagian perniagaan baru Geely, serta Klaus Entenmann, Ketua Pegawai Eksekutif Daimler Financial Services AG, dan Jörg Lamparter, Ketua Perkhidmatan Mobiliti di Daimler Financial Services AG.

Sebagai sebahagian daripada JV, Geely Group Company dan Perkhidmatan Mobiliti Daimler akan sama-sama diwakili dalam lembaga perkhidmatan yang baru, di mana kedua-dua syarikat akan bersama membangunkan infrastruktur perisian yang diperlukan untuk menyokong perniagaan di China.

Google ads
Back to top button