
Pendahulu CP150, Ahmad Afif Amran (PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing) terpaksa menunggu pusingan akan datang untuk mengesahkan gelaran keseluruhan apabila menamatkan saingan di tempat kedua di belakang pencabar utama, Kasma Daniel Kasmayuddin yang menjuarai perlumbaan dengan masa keseluruhan 17’25.990s.
Afif yang turut menerima tentangan sengit daripada rakan sepasukan Kasma, Md Akid Aziz menamatkan 20 pusingan perlumbaan dengan masa 17’27.456s manakala Akid ketiga dengan masa 17’27.990s.
Afif kini berkelebihan 44 mata ke atas Kasma dengan mengumpul 180 mata manakala Kasma di kedudukan kedua dengan 136 mata. Afif hanya perlu menamatkan saingan di kelompok 10 pelumba terbaik untuk mengesahkan gelaran pada pusingan kesembilan yang akan berlangsung di Jempol, Negeri Sembilan pertengahan November depan.
Dalam saingan WIRA KBS, Md Syarifuddin Azman berjaya meraih kemenangan kelima berturut-turut pada musim ini sekaligus berjaya muncul sebagai pendahulu keseluruhan dengan mengumpul 133 mata.
Pelumba Idemitsu Kozi Yam Honda Racing itu berjaya menamatkan 12 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 11’14.467s menewaskan pencabar utama, Md Danial Syahmi (SIC Junior Team AFB TECH Racing) yang memberikan saingan sengit sepanjang perlumbaan sebelum akur di kedudukan kedua dengan masa 11’17.241s. Md Faiz Zekri Sabri (ONEXOX Racing Team) muncul pemenang tempat ketiga dengan masa 11:29.365s.
Md Danial yang tidak beraksi pada pusingan lepas turun ke tangga kedua dengan turut mengumpul 133 mata namun dibezakan dengan jumlah kemenangan milik Md Syarifuddin. Tempat ketiga ketika ini disandang oleh Md Alif Ashraf Tahiruddin (KUL) PETRONAS Sprinta YAMAHA yang gagal menamatkan perlumbaan dengan mengumpul 112 mata.