Advertisements
Buletin

FOTO RASMI GEELY GALAXY M8 PHEV DIDEDAHKAN DI CHINA – DILANCARKAN TAK LAMA LAGI

Geely Galaxy memperkenalkan imej rasmi terbaharu Galaxy M8, sebuah SUV hibrid plug-in (PHEV) bersaiz besar yang bakal menjadi model SUV lima tempat duduk pertama dalam keluarga Galaxy.

Model baharu itu dijadualkan membuat kemunculan rasmi di pasaran pada suku keempat tahun ini. Dari segi penampilan, Galaxy M8 menggunakan bahasa reka bentuk yang hampir sama dengan Galaxy M9, termasuk lampu hadapan LED memanjang dengan elemen bercahaya menyerupai bintang.

Bahagian hadapan turut menampilkan gril kemasukan udara aktif pada bampar bawah, manakala bumbungnya dilengkapi sensor LiDAR sebagai sebahagian daripada sistem bantuan pemanduan pintar.

Menariknya, Galaxy M8 mempunyai dimensi yang sama seperti Galaxy M9, iaitu panjang 5,205mm, lebar 1,999mm dan tinggi 1,800mm. Jarak roda pula berukuran 3,030mm.

Bagaimanapun, berbeza dengan Galaxy M9 yang menawarkan konfigurasi enam tempat duduk, M8 menggunakan susun atur lima tempat duduk dengan ruang kabin lebih luas untuk penumpang.

Dari segi luaran, pembeli boleh memilih antara empat reka bentuk rim berbeza bersaiz 20 dan 21-inci. Model ini turut dijangka ditawarkan dengan pilihan lencana berwarna emas bagi varian tertentu.

Ruang kabinnya pula mengambil inspirasi daripada Galaxy M9, dengan gabungan panel instrumen digital dan skrin infotainmen bersaiz besar yang dipasang secara terapung di bahagian tengah papan pemuka.

Geely turut dijangka melengkapkan model ini dengan sistem kawalan suara berasaskan kecerdasan buatan (AI) serta teknologi AI Agent yang menyokong pelbagai fungsi kenderaan.

Dari aspek rangkaian kuasa, Galaxy M8 menggunakan sistem plug-in hybrid yang menggabungkan enjin petrol 1.5 liter turbo bersama motor elektrik. Enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum 120kW.

Sistem berkenaan dipadankan dengan bateri jenis lithium iron phosphate (LFP) keluaran CATL berkapasiti 53.42kWj.

Menurut spesifikasi kitaran CLTC, pek bateri itu membolehkan SUV berkenaan bergerak menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya sejauh 231 hingga 251km, bergantung kepada varian. Angka tersebut bersamaan kira-kira 187 hingga 203km berdasarkan kitaran WLTP.

Galaxy M8 juga bakal ditawarkan dalam pilihan pacuan dua roda dan pacuan empat roda bagi memenuhi keperluan pengguna berbeza.

Sebelum ini, model berkenaan telah dikesan dalam senarai pendaftaran Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat (MIIT) China, sekali gus memberikan gambaran awal mengenai spesifikasi yang bakal ditawarkan.

Google ads
Back to top button