Buletin

DAPATKAN AKSESORI GR UNTUK GR YARIS, VIOS GR-S, VIOS DAN YARIS

UMW Toyota Motor baru-baru ini mengumumkan penawaran aksesori GR yang eksklusif untuk GR Yaris, Vios GR-S, Vios dan Yaris.

Semua komponen tersebut boleh didapati secara eksklusif di lima GR Garage seluruh negara dan 39 cawangan GR (pengedar Toyota yang bersaing dalam siri perlumbaan Vios Challenge).

Antara akseori GR yang ditawarkan ialah:

Eksklusif untuk GR Yaris edisi terhad serta hanya boleh didapati di GR Garage seluruh negara ialah lima naik taraf penggayaan dan prestasi. Ini, termasuk spoiler depan GR, spoiler belakang, skirting sisi GR, spoiler bampar belakang GR, sports muffler GR dan set panel dalaman gentian karbon GR.

Aksesori lain turut disediakan untuk Vios GR-S, Vios dan Yaris. Namun, ia tidak termasuk butang suis penghidup GR, lencana GR serta pelapik kaki GR yang sudahpun didatangkan sebagai standard untuk Vios GR-S.

“Gazoo Racing merupakan satu jenama yang mendapat perhatian meluas di pasaran tempatan sejak pertama kali diperkenalkan jenama pada 2017.

“Ia mewakili semangat aktiviti permotoran Toyota di seluruh dunia dan telah diterjemahkan ke dalam beberapa usaha seperti penganjuran Toyota Gazoo Racing Festival, perlumbaan Vios Challenge, Kejuaraan Gazoo Racing Velocity Esports, pengenalan kenderaan GR eksklusif, pelancaran Vios GR-S di Malaysia dan penubuhan Program Pembangunan Bakat Muda Gazoo Racing untuk pemandu baru. 

“Jadi, penawaran aksesori GR ini adalah usaha Toyota untuk mengukuhkan kedudukan dalam sukan permotoran di Malaysia,” kata Ketua Pegawai Sukan Permotoran Gazoo Racing Malaysia, Akio Takeyama.

GR mementingkan aspek prestasi sama seperti penggayaan, keselamatan dan gaya hidup. Ini terserlah daripada senarai awal aksesori ini.

Semua peralatan dan aksesori GR hadir dengan jaminan selama setahun. Bagi memastikan pemasangan yang betul, pelanggan boleh melakukannya di GR Garage dan cawangan GR sedia ada.

Lima GR Garage termasuklah Fokus Tetap (Shah Alam, Selangor), PCM Klang Motor (Klang, Selangor), Wing Hin Auto (Balakong, Selangor), Telagamas (Kulim, Kedah) dan Mutiara Motorsports (Masai, Johor). 

Untuk senarai lengkap cawangan GR dan maklumat lain, sila layari laman web UMW Toyota Motors di www.toyota.com.my 

GALERI

Google ads
Back to top button