Buletin

JLRM GABUNGKAN OPERASI SIME DARBY AUTO CONNEXION DAN SISMA AUTO

Jaguar Land Rover (Malaysia) Sdn Bhd (JLRM), pengimport dan pengedar tunggal Jaguar dan Land Rover di Malaysia dilapor merancang untuk menyatu dan mengukuhkan pengendalian perniagaan runcit mereka. 

Langkah itu merupakan sebahagian daripada rancangan meningkatkan keupayaan servis dan perkembangan jenama tersebut untuk jangka panjang.

Rancangan itu bakal menyaksikan perolehan aset daripada Sime Darby Auto Connexion dan SISMA Auto berikutan gabungan pusat operasi perniagaan berpusat pengedar Jaguar dan Land Rover di Ara Damansara, Selangor. Premis di Ara Damansara merupakan fasiliti 4S Jaguar Land Rover terbesar di Asia Tenggara. JLRM juga bakal beroperasi untuk jualan runcit di Jalan Sultan Ahmad Shah, Pulau Pinang.

Pengarah Urusan JLRM, Syed Ahmad Muzri Syed Faiz memberitahu penggabungan itu akan meletakkan syarikat dalam kedudukan lebih kukuh dalam menyediakan khidmat kepada pelanggan. Selain dapat mengoptimumkan kos runcit, perdagangan dan perbelanjaan.

JLRM berharap agar penggabungan itu mampu memaksimumkan pengalaman pelanggan yang membezakan mereka dengan syarikat pesaing. Dikombinasikan dengan inisiatif digital, rancangan syarikat untuk melabur ke atas teknologi bakal meningkatkan penggunaan penyelesaian digital dalam beberapa tahun lagi. Ini bagi menyempurnakan kapasiti servis yang bertujuan mewujudkan perkhidmatan berkualiti tinggi untuk para pelanggan.

Gabungan di antara Sime Darby Motors dan SISMA Auto turut meletakkan pengalaman lebih 60 tahun dalam perniagaan Jaguar dan Land Rover. Kedua-dua pihak telah mendapat pengiktirafan terhadap prestasi hebat mereka, apabila dinobatkan dalam pelbagai kedudukan tertinggi dalam Retailer of the Year Award 2020/21.

Lebih banyak perkhidmatan dan kemudahan mewah di bilik pameran JLRM akan dinikmati para pelanggan. Fasiliti seluas 167,586 kaki persegi di Ara Damansara boleh menempatkan kenderaan baharu dan kenderaan terpakai Jaguar Land Rover di bawah satu bumbung. Sekali gus memberikan para pelanggan pilihan yang lebih banyak dan lebih nilai.

JLRM akan meneruskan pelaburan dari segi latihan untuk meningkatkan Juruteknik Master Level 4 dan Juruteknik Teknologi Kenderaan Elektrik bertauliah. Ini bagi memastikan para pelanggan mendapat perkhidmatan terbaik untuk kenderaan mereka. 

Penasihat Jualan dan Perkhidmatan akan dilatih secara khusus selari dengan standard Jaguar Land Rover agar pelanggan kekal yakin dengan pemilikan kenderaan mereka. Program jangkauan perkhidmatan juga akan diperluaskan ke wilayah selatan di Johor Bahru, di samping mengekalkan liputan di bahagian utara melalui premis di Pulau Pinang.

Para pelanggan juga boleh menjangkakan pelancaran model baharu dalam masa terdekat seperti Jaguar F-PACE,   Jaguar XF, SUV EV pertama Jaguar, Jaguar I-PACE, Land Rover Defender 90 dan Range Rover serba baharu.

Google ads
"
"
Back to top button