Artikel Pilihan

TOYOTA VIOS SERBA BARU, BAKAL DILANCARKAN SUKU KE 3 2022?

Berdasarkan maklumat dan laporan awala oleh media automotif Autoindustriya, Toyota Vios serba baru dengan platform baru bakal dilancarkan pada suku ketiga tahun 2022. Walaupun trend dunia lebih ke arah crossover/SUV, namun Vios akan tetap hadir dalam bentuk sedan bagi memenuhi kehendak pasaran Asia Tenggara

Ini merupakan satu berita baik memandangkan Toyota Vios yang ada sekarang dengan kod model XP150 menggunakan platform yang sama semenjak tahun 2013. Apabila model ini dinaiktaraf pada tahun 2016, ia diberikan enjin dual-VVTi dan juga transmisi CVT yang terus digunakan sehingga hari ini

Pada tahun 2019 ia diberikan sekali lagi facelift dengan diberikan lampu projektor baru, LED DRL, sistem amaran titik buta dan kamera 360 darjah. Pada awal tahun 2021 Vios sekali lagi diberikan facelift baru dengan ciri lampu LED, ciri AppleCar Play, Android Auto serta sistem brek keselamatan automatik AEB

Namun disebalik semua teknologi itu, ia masih menggunakan cesi yang sama yang telah digunakan dari tahun 2013. Jadi Vios Full Model Change (FMC) dijangka akan dilancarkan pada tahun 2022 nanti akan menggunakan cesi serba baru tapi tidak akan menggunakan cesi Toyota New Global Architecture

Berdasarkan maklumat awal Autoindustriya, model Yaris Ativ/Vios ini akan menggunakan kod projek D92A yang tiada kaitan langsung dengan kod projek Vios lama yang menggunakan kod XP150. Jadi telahan awal kami ialah kod huruf D yang digunakan adalah berasal dari subsidiari Toyota iaitu Daihatsu

Bagi model Daihatsu, cesi yang digunakan sekarang termasuk Perodua Ativa ialah cesi Daihatsu New Global Architecture. Berbeza dengan TNGA yang memberikan fokus pada prestasi, DNGA dibangunkan khusus oleh Daihatsu bagi kegunaan pasaran dimana platform ini boleh dibangunkan untuk model-model mampu milik di negara Asia Tenggara.

Sama seperti TNGA, platform DNGA bagi model Vios 2022 ini akan memberi penekanan kepada pengurangan berat, ketegaran cesi yang lebih baik dan prestasi ujian yang lebih bagus semasa ujian kemalangan dibuat. Sumber Autoindustriya juga memberikan idea yang Vios akan hadir dengan 2 varian utama iaitu petrol dan hibrid

Buat masa ini hanya ada 2 calon unit trenkuasa hibrid yang dibangunkan oleh Toyota yang sesuai dengan Vios. Calon pertama ialah sistem hibrid yang digunakan oleh Toyota Prius C yang menggunakan enjin 1500cc dual VVT-i DOHC Atkinson yang digandingkan dengan bateri sebesar 0.9kWh yang 99 kuasa kuda.

Calon kedua ialah sistem hibrid dengan enjin 1800cc yang digunakan oleh Corolla Cross Hybrid dan Corolla Hibrid dengan enjin 1800cc yang menghasilkan gabungan 134 kuasa kuda dan 207Nm tork. Sekiranya betul, ia bakal memberi cabaran kepada Honda City RS Hybrid

Mengikut maklumat yang kami terima, kilang terbaru Toyota di Bukit Raja sebenarnya sudah cukup bersedia untuk menghasilkan Corolla Cross, jadi besar kemungkinan model Vios D92A ini akan dihasilkan di Malaysia bagi pasaran tempatan. Langkah ini adalah penting bagi mengekalkan Vios sebagai model mampu milik Toyota walaupun dibekalkan dengan trenkuasa hibrid

Google ads
Back to top button