Buletin

PERALIHAN PENUH KE EV, JUTAAN INDIVIDU AKAN HILANG KERJA DI JEPUN – BOS TOYOTA

Ketua Pegawai Eksekutif Toyota, Akio Toyoda memberi amaran bahawa berjuta-juta pekerja sektor automotif berisiko hilang punca pendapatan sekiranya kerajaan Jepun meneruskan usaha ke arah neutraliti karbon. 

Ketika berucap atas kapasiti sebagai Pengerusi Persatuan Pengeluar Kenderaan Jepun, Toyoda menjelaskan peralihan radikal kepada kenderaan elektrik akan melumpuhkan industri pengilangan syarikat. Amaran itu timbul selepas Jepun berusaha untuk menjadi negara yang neutral karbon menjelang tahun 2050. 

“Jepun ialah negara yang bergantung kepada aktiviti eksport. Maka, neutraliti karbon akan menjadi isu pekerjaan di Jepun. Ada segelintir ahli politik menyatakan kita perlu menukar semua kereta menjadi EV dan menyifatkan industri pengilangan sekarang sudah ketinggalan zaman. 

“Saya tidak fikir itu masalahnya. Bagi melindungi kerja dan kehidupan rakyat Jepun, saya fikir masa depan perlu diselarikan dengan usaha setakat ini,” kata Toyoda. 

Memetik laporan Auto News, Jepun menghasilkan sekitar 10 juta kenderaan setahun dengan hampir 50 peratus daripadanya dieksport. Negara itu dijangka mengeluarkan 8 juta kenderaan dengan enjin ICE, termasuk hibrid dan PHEV walaupun pada tahun 2030. 

“Ini bermakna produksi lebih 8 juta unit akan hilang dan industri automotif mungkin kehilangan 5.5 juta pekerja. Jika mereka kata enjin pembakaran dalaman adalah musuh utama, kita tidak akan mampu untuk menghasilkan hampir apa jua kenderaan,” selar Toyoda. 

Toyoda tetap yakin kereta hibrid ialah teknologi penghubung yang penting kepada EV. Ia juga cukup penting buat pasaran yang tidak mempunyai infratruktur pengecasan sewajarnya. 

“Bagi mencapai neutraliti karbon, musuhnya ialah karbon dioksida, bukannya enjin pembakaran dalaman. Untuk mengurangkan emisi, kita perlu ada inisiatif yang praktikal dan mapan yang selari dengan situasi di pelbagai rantau berbeza,” kata Toyoda. 

Google ads
Back to top button