
DENZA D9 DAPAT SAMBUTAN LUAR BIASA, 800 UNIT TERJUAL HANYA DALAM SEMINGGU!
Denza D9, kenderaan pelbagai guna (MPV) elektrik mewah, telah mencatatkan kejayaan luar biasa di pasaran Malaysia dengan penjualan 800 unit dalam tempoh seminggu selepas pelancarannya pada 20 Februari 2025.
Denza D9 ditawarkan dalam dua varian: Advanced FWD pada harga RM259,000 dan Premium AWD pada harga RM309,000.
Kedua-dua varian dilengkapi dengan bateri Blade LFP berkapasiti 103kWh, memberikan jarak pemanduan sehingga 600km untuk Advanced FWD dan 580km untuk Premium AWD mengikut standard WLTP.

Varian Advanced FWD dikuasakan oleh motor elektrik tunggal yang menghasilkan 308 hp dan 360 Nm tork, membolehkan pecutan 0-100km/j dalam 9.5 saat.
Sementara itu, varian Premium AWD menampilkan dua motor elektrik dengan gabungan kuasa 369hp dan 470Nm tork, membolehkan pecutan 0-100km/j dalam 6.9 saat.
Dari segi keselamatan dan bantuan pemandu, ia dilengkapi ciri-ciri seperti lapan beg udara serta sistem ADAS, dengan komponen perkakasan terdiri daripada lima radar gelombang milimeter, lapan radar ultrasonik, empat kamera pandangan sekeliling dan satu pemantauan pemandu.
Senarai ADAS merangkumi ciri seperti kawalan jelajah adaptif, brek kecemasan automatik, amaran lintasan trafik hadapan dan belakang dengan brek automatik, amaran pelanggaran belakang, amaran keluar lorong, bantuan mengekalkan lorong serta bantuan lampu tinggi.
Kejayaan penjualan ini menunjukkan minat yang tinggi terhadap kenderaan elektrik mewah di Malaysia, serta keyakinan pengguna terhadap jenama Denza dan teknologi yang ditawarkannya. – Engear
- BACA: PROTON CATAT PENCAPAIAN BAHARU DENGAN PENGHANTARAN 1,000 UNIT e.MAS 7
- BACA: DUA MODEL FLAGSHIP TUJUH TEMPAT DUDUK VOLVO, EV EX90 DAN XC90 FACELIFT BAKAL HADIR DI MALAYSIA
- BACA: KENDERAAN BERUSIA 15 TAHUN DI NEW DELHI DILARANG ISI MINYAK
- BACA: PROTON BAGI ‘DUIT RAYA’ KEPADA PEMBELI KERETA DI BULAN MAC – TAWAR REBAT SEHINGGA RM15K!









