
DENZA TAWAR PENGGANTIAN PERCUMA PENAPIS PM2.5 UNTUK PEMILIK D9
DENZA Malaysia memperkenalkan DENZA Care Program dengan menawarkan penukaran percuma penapis kabin penghawa dingin berkecekapan tinggi PM2.5 kepada pemilik kenderaan DENZA D9 di seluruh negara.
Inisiatif berkenaan diperkenalkan susulan keadaan jerebu melanda rantau ini, sekali gus menyebabkan peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dan kehadiran zarah halus yang boleh menjejaskan kesihatan.
Menurut DENZA Malaysia, program itu bertujuan membantu memastikan kualiti udara di dalam kabin kenderaan kekal bersih dan selamat untuk pemandu serta penumpang, terutama ketika kualiti udara luar berada pada tahap tidak memuaskan.
Walaupun jerebu sering dikaitkan dengan pencemaran di luar bangunan, zarah halus seperti PM2.5 masih boleh memasuki ruang kabin menerusi sistem pengudaraan kenderaan.

Pendedahan berterusan kepada zarah ini berpotensi menyebabkan masalah pernafasan, keletihan serta risiko kesihatan jangka panjang.
Bagi menangani isu tersebut, DENZA D9 dilengkapi sistem penapisan udara khas yang direka untuk menapis zarah halus, habuk dan asap dengan lebih berkesan berbanding penapis kabin konvensional.
Sistem berkenaan turut menggunakan lapisan karbon aktif yang membantu mengurangkan gas berbahaya, bau asap serta pencemaran udara yang lazim berlaku ketika musim jerebu.
Selain itu, penapis tersebut berfungsi bersama sistem kawalan iklim kenderaan yang mampu memantau dan meningkatkan kualiti udara dalam kabin secara berterusan.
Program ini dibuka kepada pemilik persendirian DENZA D9 baharu dan sedia ada di Malaysia bermula 1 Oktober hingga 30 November 2026.
Pemilik yang layak boleh menebus penukaran penapis PM2.5 secara percuma sekali sahaja di mana-mana Pusat Servis Premium DENZA dengan mengemukakan dokumen pembelian kenderaan atau Rekod Arahan Pembaikan (Repair Order).
Kenderaan yang digunakan bagi tujuan komersial tidak termasuk dalam kempen ini.
Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma berkata, kenderaan mewah bukan sahaja perlu menawarkan keselesaan dari segi kemasan dan teknologi, malah turut memainkan peranan sebagai ruang perlindungan yang selamat kepada pengguna.
“Ketika jerebu berada pada tahap tinggi, kenderaan menjadi ruang yang digunakan setiap hari oleh pemilik dan keluarga mereka.
“Melalui penawaran penapis kabin berkecekapan tinggi ini, kami mahu memastikan pengalaman pemanduan yang lebih selesa serta kualiti udara yang lebih baik di dalam kabin,” katanya.
Menurut DENZA Malaysia, pemilik yang layak akan menerima makluman lanjut mengenai proses penebusan menerusi aplikasi WhatsApp atau khidmat pesanan ringkas (SMS).








