
DENZA D9 RASMI DILANCARKAN – DUA VARIAN, JARAK GERAK 520KM, HARGA BERMULA RM259K
MPV elektrik mewah, Denza D9 secara rasmi dilancarkan untuk pasaran tempatan, ditawarkan dua varian iaitu Advanced FWD dan Premium AWD.
Dari segi dimensi, Denza D9 hadir dengan ukuran 5,250mm panjang, 1,960mm lebar, dan 1,920mm tinggi dengan jarak roda diletakkan pada 3,110mm.

Denza D9 akan tersedia dalam tiga pilihan warna luaran:
- Arctic White
- Cosmos Black
- Whale Sea Blue
Sementara bahagian dalaman pula ditawarkan dua pilihan warna iaitu:
- Beige
- Brown
Di dalam kabin, ia dilengkapi paparan instrumen digital 10.25-inci, skrin infotainmen 15.6-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, serta tempat duduk kapten di barisan kedua dengan larasan kuasa, sokongan lumbar, fungsi liang udara dan urutan.

Kelengkapan lain termasuklah menawarkan tiga pengecas tanpa wayar Qi 50-watt di bahagian hadapan dan barisan kedua, serta sistem audio Dynaudio dengan 14-pembesar suara.
Bukan itu sahaja, ia juga menerima kelengkapan seperti peti sejuk 7.5 liter dengan kawalan suhu dwi-zon yang terletak di bawah perehat tangan di antara tempat duduk hadapan.
Ia turut dibekalkan dengan ciri VtoL yang membolehkan Denza D9 digunakan sebagai sumber kuasa untuk peranti luaran, selain dilengkapi Sistem Kawalan Suara Pintar, yang membolehkan pemandu dan penumpang mengoperasikan ciri seperti larasan suhu, tingkap, dan sistem audio hanya dengan menyebut ‘Hi DENZA’.
Kedua-dua varian dikuasakan oleh bateri lithium iron phosphate (LFP) 103kWh Blade yang menawarkan jarak sehingga 520km (WLTP) untuk model FWD dan 480km (WLTP) bagi versi AWD.

Dari segi kuasa, model pacuan roda depan dengan kuasa 313PS dan 360Nm tork, manakala varian pacuan semua roda, menghasilkan output 374PS dan 470Nm tork.
Sokongan pengecasan pantas hingga 166kW DC serta pengecas AC 11kW turut disertakan. Denza D9 juga dilengkapi dengan sistem suspensi adaptif DiSus-C Intelligent Damping Body Control System dari BYD.
Dari segi keselamatan dan bantuan pemandu, ia dilengkapi ciri-ciri seperti lapan beg udara serta sistem ADAS, dengan komponen perkakasan terdiri daripada lima radar gelombang milimeter, lapan radar ultrasonik, empat kamera pandangan sekeliling dan satu pemantauan pemandu.
Senarai ADAS merangkumi ciri seperti kawalan jelajah adaptif, brek kecemasan automatik, amaran lintasan trafik hadapan dan belakang dengan brek automatik, amaran pelanggaran belakang, amaran keluar lorong, bantuan mengekalkan lorong serta bantuan lampu tinggi.
Beralih pada harga pula, ia ditawarkan pada RM259,000 untuk varian Advanced FWD, manakala varian Premium AWD diberi tanda harga RM309,000.
GALERI:

























- BACA: HYUNDAI MOTORSPORT AKAN MENGGUNAKAN JENTERA LAMA UNTUK BERAKSI DI SAFARI RALLY KENYA 2025
- BACA: LETEN LT 190 BAKAL MASUK MALAYSIA MENERUSI AVETA – GUNA CVT, 20.1HP
- BACA: GEELY MAHU BELI SAHAM RENAULT BRAZIL! EDAR KENDERAAN GEELY
- BACA: ENJIN EA888 EVO5, ENJIN VW PALING TAHAN, PALING POWER. MAKIN PADU








