Buletin

DENZA D9 DIPERKENALKAN – VARIAN FWD DAN AWD, TAWAR JARAK GERAK 520KM

MPV elektrik mewah, Denza D9 secara rasmi diperkenalkan untuk pasaran tempatan, ditawarkan dua varian iaitu Advanced FWD dan Premium AWD.

Dari segi dimensi, Denza D9 hadir dengan ukuran 5,250mm panjang, 1,950mm lebar, dan 1,920mm tinggi dengan jarak roda diletakkan pada 3,110mm.

Di dalam kabin, ia dilengkapi paparan instrumen digital 10.25-inci, skrin infotainmen 15.6-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, serta tempat duduk kapten di barisan kedua dengan larasan kuasa, sokongan lumbar, fungsi liang udara dan urutan.

Kelengkapan lain termasuklah menawarkan tiga pengecas tanpa wayar Qi 50-watt di bahagian hadapan dan barisan kedua, serta sistem audio Dynaudio dengan 14-pembesar suara.

Ia turut dibekalkan dengan ciri VtoL yang membolehkan Denza D9 digunakan sebagai sumber kuasa untuk peranti luaran, selain dilengkapi Sistem Kawalan Suara Pintar, yang membolehkan pemandu dan penumpang mengoperasikan ciri seperti larasan suhu, tingkap, dan sistem audio hanya dengan menyebut ‘Hi DENZA’.

Kedua-dua varian dikuasakan oleh bateri lithium iron phosphate (LFP) 103kWh Blade yang menawarkan jarak sehingga 520km (WLTP) untuk model FWD dan 480km bagi versi AWD.

Dari segi kuasa, model pacuan roda depan dengan kuasa 313PS dan 360Nm tork, manakala varian pacuan semua roda, menghasilkan output 374PS dan 470Nm tork.

Sokongan pengecasan pantas hingga 166 kW DC serta pengecas AC 11 kW turut disertakan. Denza D9 juga dilengkapi dengan sistem suspensi adaptif DiSus-C Intelligent Damping Body Control System dari BYD.

Beralih pada harga pula, tiada pendedahan dilakukan namun ia bakal diketahui apabila dilancarkan pada minggu hadapan.

GALERI:

Google ads
"
"
Back to top button