
PROTON CATAT PENCAPAIAN BAHARU DENGAN PENGHANTARAN 1,000 UNIT e.MAS 7
PRO-NET telah mencapai satu kejayaan penting dengan penghantaran unit ke-1,000 bagi model e.MAS 7.
Pencapaian ini bukan sahaja membuktikan peningkatan penerimaan EV dalam pasaran tempatan tetapi juga mengukuhkan komitmen PROTON dalam membawa teknologi mobiliti lestari di Malaysia.
Sambutan luar biasa terhadap e.MAS 7 mencerminkan kepercayaan pengguna terhadap visi PROTON dalam peralihan ke arah mobiliti hijau.
Model ini menarik perhatian ramai kerana kombinasi harga berpatutan, praktikaliti, serta ekosistem sokongan yang menyeluruh.

Dengan lebih 2,000 stesen pengecasan tersedia di seluruh negara, pemilik e.MAS 7 dapat menikmati pengalaman pemanduan EV yang lancar tanpa kebimbangan mengenai akses tenaga.
Selain itu, e.MAS 7 dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan terkini dan sambungan rangkaian pintar yang menjadikannya pilihan ideal bagi pengguna yang mengutamakan teknologi moden dalam kenderaan mereka.
Faktor Tarikan Utama e.MAS 7
Berdasarkan tinjauan terkini, 58 peratus pembeli mengakui bahawa e.MAS 7 menawarkan nilai terbaik untuk harga yang ditawarkan, sementara 51 peratus menghargai ruang dalaman serba luas dan kesesuaian model ini untuk kegunaan harian.
Ciri keselamatan canggih, termasuk sistem Bantuan Pemandu Lanjutan (ADAS) Tahap 2 dan keupayaan pemanduan separa autonomi, turut menjadi tarikan utama bagi 38 peratus pengguna.
Sementara, 39 peratus responden menyatakan bahawa peta pengecasan langsung yang disediakan memainkan peranan besar dalam keputusan pembelian mereka.

Dengan lebih 4,500 tempahan yang telah diterima, permintaan untuk e.MAS 7 terus meningkat. PRO-NET optimis bahawa jumlah tempahan akan mencapai angka 6,000 dalam masa terdekat.
Untuk rekod, model ini kini memegang 25 peratus bahagian pasaran EV di Malaysia, menjadikannya antara pilihan utama dalam segmen kenderaan elektrik tempatan.
Peralihan ke EV: Satu Langkah ke Hadapan
Kesedaran mengenai kepentingan penggunaan EV semakin meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia, bukan sahaja atas faktor kelestarian alam sekitar tetapi juga kerana kepraktisan teknologi ini dalam kehidupan seharian.
e.MAS 7 telah membuktikan bahawa kenderaan elektrik boleh menjadi sebahagian daripada gaya hidup masyarakat, menawarkan prestasi yang cekap, ruangan selesa, dan ciri bantuan pemandu yang inovatif.
- BACA: DUA MODEL FLAGSHIP TUJUH TEMPAT DUDUK VOLVO, EV EX90 DAN XC90 FACELIFT BAKAL HADIR DI MALAYSIA
- BACA: KENDERAAN BERUSIA 15 TAHUN DI NEW DELHI DILARANG ISI MINYAK
- BACA: PROTON BAGI ‘DUIT RAYA’ KEPADA PEMBELI KERETA DI BULAN MAC – TAWAR REBAT SEHINGGA RM15K!
- BACA: SUAMI ISTERI WARGA EMAS DISYAKI LANGGAR LARI PEMANDU LORI