Buletin

PROTON e.MAS PERKUKUH RANGKAIAN, ENAM PUSAT PENGEDAR TAMPIL DENGAN IDENTITI KORPORAT BAHARU

Proton e.MAS terus memperkukuhkan kedudukannya dalam pasaran kenderaan elektrik (EV) tempatan apabila memperkenalkan identiti korporat (CI) baharu di enam pusat pengedarnya di seluruh negara, sekali gus menawarkan pengalaman pelanggan yang lebih moden dan seragam.

Pelaksanaan konsep baharu itu menjadi sebahagian daripada usaha jangka panjang PRO-NET untuk meningkatkan standard rangkaian pengedarnya, selain memperkukuhkan pengalaman pemilikan EV menerusi perkhidmatan yang lebih berkualiti serta berorientasikan pelanggan.

Dengan pembukaan enam bilik pameran berwajah baharu itu, rangkaian Proton e.MAS kini merangkumi 58 pusat pengedar di seluruh negara, disokong oleh 45 pusat servis dan 10 pusat Body & Paint bagi memastikan pelanggan menikmati kemudahan jualan serta selepas jualan lebih menyeluruh.

Enam pusat pengedar yang menerima identiti korporat baharu ialah Proton e.MAS Bukit Jalil yang dikendalikan AJG Mobility, Proton e.MAS Jalan Sultan Ismail (MBF EV Auto), Proton e.MAS Temerloh (Dunia Auto), Proton e.MAS Batu Pahat (Promas EV), Proton e.MAS Taiping (BH Autotech) dan Proton e.MAS Kulim (GB Auto).

Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang berkata, identiti korporat baharu itu melambangkan fasa seterusnya dalam pembangunan jenama Proton e.MAS yang semakin berkembang di Malaysia.

Menurut beliau, peningkatan bukan sahaja melibatkan aspek visual bilik pameran, malah memberi penekanan kepada pengalaman pelanggan supaya setiap pengunjung berasa lebih selesa dan yakin ketika mendapatkan maklumat atau membeli kenderaan elektrik.

Konsep baharu itu mengetengahkan reka bentuk yang ringkas, moden dan selesa dengan penggunaan elemen semula jadi, kombinasi warna yang lebih harmoni serta sistem pencahayaan yang dipertingkatkan bagi mewujudkan suasana lebih mesra.

Fasad kaca penuh turut digunakan untuk membenarkan pencahayaan semula jadi memenuhi ruang pameran.

Selain menawarkan persekitaran yang lebih premium, reka bentuk baharu itu turut mengambil kira keperluan pengembangan operasi pada masa hadapan.

Keluasan bilik pameran antara 950 hingga 1,400 meter persegi membolehkan lebih banyak model dipamerkan, di samping meningkatkan kapasiti servis melalui penambahan ruang kerja, tenaga teknikal serta mengurangkan tempoh menunggu pelanggan.

Pelaksanaan identiti korporat baharu ini dilihat sebagai satu lagi langkah strategik Proton e.MAS dalam memperluaskan rangkaian pengedarnya, meningkatkan tahap perkhidmatan serta menyokong usaha mempercepatkan penerimaan mobiliti elektrik dalam kalangan pengguna di Malaysia.

Google ads
Back to top button