Buletin

TEMPAHAN AWAL SKYNOMAD N70 DAN N90 DIBUKA DI CHINA – HARGA BERMULA LEBIH RM154K

Xiaomi secara rasmi membuka tempahan awal bagi dua SUV elektrik jarak lanjutan (EREV) terbaharunya di China menerusi siri Skynomad, terdiri daripada model N70 dan N90.

Kedua-duanya dibangunkan menggunakan platform Kunlun yang dibangunkan sendiri, dengan pelancaran pasaran dijadualkan berlangsung pada September 2026.

Kedua-dua model menggunakan enjin petrol 1.5 liter yang berfungsi sebagai penjana tenaga kepada sistem elektrik. Enjin berkuasa 150hp itu mampu menggunakan petrol RON 92, RON 95 dan RON 98, selain mencatat penggunaan bahan api sekitar 6.26 liter bagi setiap 100 kilometer.

Dua pilihan bateri ditawarkan iaitu pek LFP berkapasiti 52kWh keluaran Sunwoda dan bateri ternary NMC 76kWh daripada CALB.

Untuk prestasi, Skynomad N70 hadir dalam pilihan pacuan roda belakang dengan motor elektrik 282hp atau pacuan semua roda (AWD) yang menghasilkan 416hp.

Dengan penggunaan tenaga serendah 15.85kWh bagi setiap 100 km, N70 mampu mencapai jarak pemanduan elektrik sehingga 505 km mengikut kitaran CLTC.

Sementara itu, Skynomad N90 Max menawarkan jarak pemanduan elektrik sehingga 464 km, namun keseluruhan jarak perjalanan gabungan mencecah 1,705 km apabila digabungkan dengan enjin petrol.

Sistem pengecasan pantas DC membolehkan bateri 76kWh dicas daripada 20 hingga 80 peratus dalam masa hanya 18 minit, manakala pengecasan selama 15 minit mampu menambah kira-kira 285 km jarak pemanduan elektrik.

Dari aspek pemanduan, kedua-dua SUV ini dilengkapi suspensi bebas jenis double wishbone di hadapan dan multi-link di belakang, selain menawarkan tiga tahap tetapan berat stereng mengikut pilihan pemandu.

Bagi N90 Max, model ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam tempoh 5.9 saat, mempunyai jejari pusingan 5.95 meter serta jarak membrek dari 100 km/j ke sifar sejauh 38.57 meter.

Struktur badan N90 Max dibina menggunakan gabungan 90.4 peratus keluli berkekuatan tinggi dan aluminium, dengan 16 bahagian utama diperkukuh menggunakan keluli ultra-kuat 2,200 MPa bagi meningkatkan tahap keselamatan ketika pelanggaran.

Dari segi teknologi, siri Skynomad menggunakan cip bantuan pemanduan Nvidia Thor berasaskan proses 4 nm yang menawarkan kuasa pemprosesan sehingga 700 TOPS.

Ia turut dipadankan dengan sensor LiDAR pada bumbung, sistem kawalan suara berasaskan kecerdasan buatan (AI), sambungan dwi 5G serta Wi-Fi, selain sistem audio premium 25 pembesar suara berkuasa 4,890 watt dengan konfigurasi bunyi 7.1.4.

Ruang kabin menjadi antara tarikan utama N90 Max. SUV tujuh tempat duduk ini menggunakan susun atur 2+2+3, dengan tempat duduk hadapan boleh dipusing sehingga 180 darjah menghadap barisan kedua.

Xiaomi turut menawarkan meja lipat sebagai aksesori pilihan di bahagian tengah kabin bagi mewujudkan suasana seperti ruang tamu bergerak.

Selain itu, tempat duduk barisan pertama dan kedua didatangkan dengan fungsi mod sifar graviti serta urutan 16 titik sebagai ciri standard.

Dari segi saiz, Skynomad N70 berukuran 4,960mm panjang, 1,998mm lebar dan 1,785mm tinggi dengan jarak roda 2,950mm. N90 Max pula lebih besar dengan dimensi 5,285mm panjang, 1,998mm lebar, 1,825mm tinggi serta jarak roda 3,080mm.

Di pasaran China, Xiaomi menetapkan harga tempahan awal Skynomad N70 bermula 259,900 yuan (kira-kira RM154,000), manakala Skynomad N90 Max ditawarkan pada harga 299,900 yuan (sekitar RM178,000). Pelancaran rasmi kedua-dua model dijangka berlangsung pada September ini.

Google ads
Back to top button