
PANDU BIJAK, JIMAT BANYAK: CARA PEMANDU E-HAILING MALAYSIA MAKSIMUMKAN SETIAP LITER BAHAN API
Bagi pemandu e-hailing, penggunaan bahan api bukan sekadar soal mengisi tangki, sebaliknya menjadi antara faktor utama yang menentukan jumlah pendapatan harian.
Semakin cekap mereka menguruskan penggunaan petrol, semakin tinggi potensi keuntungan yang boleh diperoleh.
Tempoh pemanduan yang panjang setiap hari menjadikan setiap keputusan di jalan raya, sama ada cara memecut, pemilihan laluan atau perancangan perjalanan, memberi kesan langsung kepada kos operasi.
Pengalaman ini turut menjadikan pemandu e-hailing lebih peka dalam mengurus penggunaan bahan api, tol, kesesakan lalu lintas serta penyelenggaraan kenderaan.

Malah, amalan yang dipraktikkan oleh golongan ini juga sesuai dijadikan panduan oleh pengguna jalan raya lain yang ingin mengurangkan perbelanjaan harian.
Berdasarkan pengalaman beberapa rakan pemandu platform inDrive di Malaysia, terdapat beberapa langkah mudah yang boleh diamalkan bagi memastikan setiap liter bahan api dimanfaatkan dengan lebih berkesan.
Antara aspek paling penting ialah mengamalkan gaya pemanduan yang lebih lancar. Pemandu berpengalaman, Hamnah Sulaiman, berkata beliau sentiasa mengekalkan kelajuan yang stabil dan mengelakkan pecutan mengejut kerana ia membantu mengurangkan penggunaan petrol.
Menurutnya, pemeriksaan tekanan tayar secara berkala serta mengelakkan enjin dibiarkan hidup terlalu lama ketika menunggu penumpang turut memainkan peranan dalam meningkatkan kecekapan penggunaan bahan api.
Selain itu, perancangan perjalanan sebelum menerima tempahan juga menjadi strategi penting. Dengan menilai lokasi pengambilan, destinasi, jarak perjalanan, keadaan trafik dan kos tol, pemandu dapat membuat keputusan yang lebih tepat sebelum memulakan perjalanan.

Mohd Sahrizan Sajali berkata beliau sentiasa menyemak lokasi pengambilan dan destinasi terlebih dahulu bagi menganggarkan jarak perjalanan, sekali gus membantu mengurus penggunaan bahan api dengan lebih baik sepanjang waktu bekerja.
Hamnah pula memanfaatkan aplikasi navigasi bagi memantau keadaan trafik semasa. Katanya, penggunaan laluan alternatif pada waktu tertentu bukan sahaja dapat mengelakkan kesesakan, malah berpotensi menjimatkan bahan api serta kos tol.
Bagi Abdul Ghani Abdullah, pertimbangan tidak hanya tertumpu kepada nilai tambang yang ditawarkan. Sebaliknya, beliau turut menilai peluang mendapatkan tempahan baharu selepas menghantar penumpang, khususnya bagi perjalanan jarak jauh.
Menurutnya, mendapatkan tempahan perjalanan pulang dapat mengelakkan pemanduan tanpa penumpang yang hanya meningkatkan penggunaan bahan api tanpa menjana pendapatan.
Perjalanan kosong selepas menghantar penumpang sering dianggap sebagai kos tersembunyi dalam industri e-hailing. Justeru, merancang perjalanan supaya kenderaan sentiasa membawa penumpang dapat membantu memaksimumkan penggunaan bahan api dan masa bekerja.
Dalam masa sama, pemandu turut menekankan kepentingan merekodkan semua kos operasi harian. Selain petrol, perbelanjaan seperti penyelenggaraan berkala, servis dan kehausan komponen kenderaan perlu diambil kira bagi mengetahui pendapatan sebenar yang diperoleh.
Hamnah berkata beliau merekodkan pendapatan dan perbelanjaan setiap hari bagi melihat bagaimana penggunaan bahan api, keadaan trafik dan jumlah tempahan mempengaruhi hasil kerja.
Kassim Sulaiman pula mengasingkan peruntukan petrol daripada simpanan untuk penyelenggaraan supaya pengurusan kewangan menjadi lebih teratur.
Walaupun setiap pemandu mempunyai cara kerja yang berbeza, mereka berkongsi matlamat sama iaitu memastikan setiap kilometer perjalanan memberikan pulangan yang optimum.
Amalan seperti memandu secara berhemah, merancang laluan lebih awal, mengurangkan perjalanan tanpa penumpang dan memantau kos operasi mungkin kelihatan kecil, namun apabila dilakukan secara konsisten, ia mampu menghasilkan penjimatan yang ketara.
Pendekatan ini bukan sahaja membantu pemandu e-hailing meningkatkan kecekapan operasi, malah boleh dijadikan panduan berguna kepada semua pengguna jalan raya yang ingin mengurangkan perbelanjaan bahan api dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat.





