EPMB TERIMA 23,000 PESANAN AWAL UNTUK E-BIKE DI PASARAN INDONESIA DAN VIETNAM
EP Manufacturing Berhad (EPMB) telah menerima 23,000 pesanan awal e-Bike untuk pasaran Indonesia dan Vietnam dengan penghantaran pertama dijadualkan pada suku pertama 2023. Harga bagi setiap e-Bike berada dalam lingkungan AS$1,850 (RM8,093) hingga AS$3,900 (RM17,062).
EPMB, melalui anak syarikat milik penuhnya EP Blueshark Sdn. Bhd. menandatangani Perjanjian Induk hari ini dengan Averte Global Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura dan Blueshark Group Ltd, dari Hong Kong.
Melalui perjanjian tersebut, Averte dan Blueshark bersetuju untuk menjadi rakan kongsi usahasama dan pembeli. Perjanjian pembelian akan berkuat kuasa selama 5 tahun dari tarikh Perjanjian Induk ini serta boleh dilanjutkan dengan persetujuan bersama. Sepanjang tempoh 5 tahun, EP Blueshark dijangka membekalkan sekurang-kurangnya 2 juta e-Bikes kepada Pembeli.
EPMB menjelaskan bahawa kerjasama yang terjalin bersama syarikat dari China, Sharkgulf Technologies Group Ltd melibatkan aspek pemasangan, pengeluaran dan pengedaran jentera dua roda elektrik Blueshark.
Syarikat itu menyasarkan pasaran Malaysia serta negara Asia Tenggara lain sebaik sahaja menerima kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk memasang dan mengeluarkan e-Bike di kemudahan pembuatannya di Glenmarie, Shah Alam.
“Kami melihat peluang pertumbuhan yang luar biasa untuk EV dua roda di Indonesia dan Vietnam. Pasaran e-Bike Indonesia sebagai contoh, diramal berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun sebanyak 20.96 peratus untuk mencapai AS$816.2 juta (RM3.5 bilion) menjelang 2025. EPMB berharap untuk berada di barisan hadapan untuk memanfaatkan permintaan ini,” kata Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif EPMB, Lim Sim Yee.
Averte turut terbabit dalam perniagaan penghantaran produk dan perkhidmatan hijau yang inovatif dan memberi impak di Asia.
Pada Julai 2022, Averte menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Viettel Post Joint Stock Corporation, di mana Viettel Post akan membeli 20,000 e-Bike. Ia juga akan membuka 1,800 outlet di seluruh negara untuk bekerjasama dengan Averte dalam menjual e-Bikes kepada pelanggan korporat atau individu.
Averte juga menandatangani Perjanjian Awal pada Julai 2022 dengan PT Sarinah, sebuah perusahaan milik negara di bawah kerajaan Indonesia. PT Sarinah dilantik untuk mempromosi dan mempopularkan e-Bikes di Indonesia.
Selain itu, Averte ada menandatangani Perjanjian Awal dengan rakan kongsi perolehan PT Sarinah, PT Marco Indokarya untuk perolehan dua juta unit e-Bike bagi tempoh lima tahun akan datang. Perjanjian lima tahun itu memberi EPMB pilihan untuk menggunakan nama jenamanya sendiri untuk EV.
Selain usaha niaga e-Bike, EPMB sedang merancang untuk memastikan syarikat itu dikenali sebagai pemain industri EV empat roda di rantau ini.
Pada Disember 2022, EPMB memeterai perjanjian pengedar eksklusif dengan Hubei Dongfeng Power Auto Trade Co Ltd dan Xiamen Tsingyan Hylong Motor Technology Co Ltd untuk memasang serta menjual Lingbox EV di Malaysia dan Indonesia.
- BACA: LINGBOX MINI EV BAKAL BERADA DI PASARAN MALAYSIA. 41HP, 220KM SEKALI CAJ, HARGA BAWAH RM100K
- BACA: SKUTER ELEKTRIK BLUESHARK R1 KINI DI MALAYSIA. TORK 201NM, JARAK GERAK 110KM, TOP SPEED 80KM/J
- BACA: MOTOSIKAL ELEKTRIK BLUESHARK DAPAT KELULUSAN VTA JPJ. BAKAL EKSPORT KE PASARAN ASIA TENGGARA LAIN
- BACA: DIDI AUTOMOTIVE PENGEDAR BAHARU TRIUMPH MOTORCYCLES DI MALAYSIA. BERKUAT KUASA 15 JANUARI 2023