Buletin

EPMB, BAIC JALIN KERJASAMA BANGUNKAN RHD EV UNTUK PASARAN TEMPATAN

EP Manufacturing Bhd (EPMB) baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan BAIC International Development Co Ltd (BAIC International) yang berpangkalan di China.

Kerjasama tersebut adalah untuk mengeluarkan kenderaan SUV BJ40P dan X55II BAIC, pemanduan kanan (RHD), kenderaan enjin pembakaran (ICE), serta kenderaan elektrik (EV).

Menurut laporan, kedua-dua syarikat bersetuju untuk membangunkan RHD EV berjenama BAIC untuk memenuhi pasaran Malaysia dan pasaran RHD Asia Tenggara.

Selain itu, membangunkan pangkalan pemasangan serta pengeluaran tempatan dengan EPMB adalah penting kepada rancangan BAIC International untuk mewujudkan rangkaian perkhidmatan jualan dan selepas jualan di Malaysia.

EPMB akan bertanggungjawab untuk pemasangan tempatan BJ40P, X55II serta model BAIC ICE dan EV akan datang sekiranya kedua-dua syarikat mencapai persetujuan muktamad.

Seterusnya, EPMB juga memainkan peranan mengeluarkan alat ganti untuk kenderaan ini di Malaysia, selaras dengan visi kerajaan untuk meningkatkan kandungan tempatan kereta yang dipasang di negara ini.

Pada 2022, BAIC International dilaporkan mengeluarkan dan menjual 1.45 juta kenderaan, termasuk sedan, EV serta SUV.

Syarikat itu mencatatkan pendapatan AS$74.69 bilion (RM340 bilion), sekali gus smenjadikannya sebagai pengeluar kereta China keempat terbesar dalam Fortune Global 500.

BAIC International juga merupakan pemegang saham individu terbesar Mercedes-Benz Group AG, dengan 9.98 peratus kepentingan dalam pembuat kereta Jerman itu. – New Straits Times

Google ads
Back to top button