Buletin

MOTOSIKAL ELEKTRIK BLUESHARK DAPAT KELULUSAN VTA JPJ. BAKAL EKSPORT KE PASARAN ASIA TENGGARA LAIN

EP Manufacturing Bhd (EPMB) dilapor telah mendapat kelulusan daripada kerajaan untuk mendaftar dan melesenkan kenderaan elektrik dua roda (EV) pertamanya.

EPMB berkata jawatankuasa kebangsaan bagi kelulusan jenis kenderaan (VTA) dan homologasi, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah meluluskan VTA untuk model Blueshark SG3000DT atau Blueshark R1 di bawah Akta Pengangkutan Jalan Malaysia 1987.

Sijil untuk VTA telah dikeluarkan kepada EP Blueshark Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh EPMB. Dengan kelulusan VTA tersebut, syarikat itu selangkah lebih dekat untuk bersedia dengan permintaan motosikal EV di Malaysia.

Rakan kongsi syarikat itu di negara ASEAN lain seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Vietnam juga menggunakan VTA untuk Blueshark R1 di negara masing-masing. Ini akan melengkapkan aktiviti pembuatan EPMB.

Kerjasama dalam perniagaan EV dua roda disokong dengan baik oleh Sharkgulf Technologies Group Limited yang berpangkalan di China. Ini disebabkan kekukuhan dari segi asas pembiayaan daripada pelabur antarabangsa yang memberi tumpuan kepada ESG.

Selain kilang pembuatan, pusat jualan dan pengedaran di Malaysia, EPMB juga akan menubuhkan pusat penyelidikan dan pembangunan, yang akan berkongsi pengetahuan teknikal dan sumber kepada Gigafactory Sharkgulf di Kawasan Baru Pantai Barat Qingdao.

Pusat pangkalan pembuatan dan usaha R&D bersama di Malaysia pula akan menangani struktur kos untuk menjadikan EV dua roda EPMB lebih mampu milik.

Syarikat itu juga dikatakan akan mengeksport ke negara-negara Asia Tenggara lain di mana permintaan untuk kenderaan dua roda sedang berkembang pesat. The Star

Google ads
Back to top button