Buletin

FASTREXS, APLIKASI HANTAR MAKANAN PATUH SYARIAH. MULA OPERASI DI LANGKAWI

Satu aplikasi penghantaran makanan patuh syariah yang mengkhusus kepada makanan halal telah diperkenalkan.

Memulakan operasi di Langkawi, aplikasi FASTREXS yang dibangunkan oleh anak tempatan akan memastikan tiada lagi keraguan bagi orang Islam ketika membuat tempahan makanan.

Makanan yang ditempah dijamin tidak akan bercampur dengan makanan tidak halal dalam satu kotak penghantaran yang sama.

“Pada masa sekarang, ramai yang menyatakan keraguan apabila aplikasi sedia ada menerima penghantaran makanan tidak halal, bercampur dengan makanan yang halal.

“Apabila bungkusan dicampur dalam kotak yang sama, mungkin berlaku makanan tumpah dan boleh menjejaskan makanan lain.

“Kami mengambil inisiatif untuk memastikan hanya tempahan produk makanan halal sahaja akan diterima, jadi pengguna tidak perlu ragu lagi,” kata Pengurus Projek FASTREXS, Rusmad Norhady Mohamad. Langkawi menjadi destinasi pertama operasi aplikasi berkenaan, dikembangkan ke kawasan lain.

Menerusi inisiatif ‘Home Kitchen’, golongan suri rumah berpeluang memasarkan produk makanan mereka apabila mendaftar dengan FASTREXS bagi tujuan keselamatan dan kualiti.

Pengerusi Bersama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Juhari Bulat menyokong usaha ini yang membuka peluang kepada suri rumah untuk menjana pendapatan.

Malah, produk komuniti tempatan juga dipasarkan dengan lebih meluas melalui penghantaran barangan ke pintu rumah atau penginapan pelanggan.

“Ada dua kategori, iaitu makanan dan ‘mart’. Untuk Langkawi, kami fokus kepada produk usahawan kecil dan sederhana (PKS).

“Kami bekerjasama dengan Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA) bagi mengetengahkan produk komuniti ini kepada pelancong,” kata Ketua Pegawai Operasi FASTREXS, Farhan Umar. – Astro Awani

Google ads
Back to top button