Buletin

CARA AHLONG UGUT PENGHUTANG DI SINGAPURA. HANTAR MAKANAN BERULANG KALI LEWAT MALAM

Mereka yang berhutang dengan ahlong nampaknya tetap tidak senang duduk, walaupun republik itu sedang menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19. 

Ini kerana peminjam wang haram atau ahlong dilapor menggunakan khidmat penghantar makanan untuk mengganggu atau mengugut mereka yang culas. 

Polis Singapura memberitahu, ahlong akan menempah makanan dalam kuantiti yang besar atau melakukan tempahan berulang kali untuk dihantar ke rumah penghutang, lazimnya pada lewat malam.

Ada juga yang melakukan perkara sama kepada saudara mara penghutang sebagai taktik memalukan mereka bagi memaksa bayaran dibuat.

Taktik itu bagaimanapun menyebabkan operator makanan dan minuman mengalami kerugian apabila penghutang atau saudara mara mereka tidak mahu membayar. 

Setiausaha Parlimen Kanan bagi Hal Ehwal Dalam Negeri, Amrin Amin menasihatkan orang ramai supaya jangan terlalu mudah terjebak dalam hutang, terutama ketika waktu sukar sekarang.

“Anda akan menerima SMS, mesej Whatsapp atau e-mel menawarkan pinjaman. Semua ini adalah scam atau ‘scums’ (penyangak)… pemberi pinjaman wang berlesen pun tidak boleh iklankan sebegini,” kata Amrin dalam satu entri di Facebook. 

Pihak polis telah menahan beberapa orang suspek yang disyaki meneruskan kerja peras ugut bagi pihak along. Biarpun Singapura sudah mengisytiharkan tempoh pemutus rantaian COVID-19 pada 7 April lalu.

Selasa lalu, pihak berkuasa menahan seorang perempuan berumur 17 tahun selepas menerima aduan mengenai gangguan along di unit kediaman di Anchorvale Link dekat Sengkang. Suspek disyaki menyimbah cat pada pintu sebuah unit kediaman, selain menulis di dinding premis berkenaan. – AGENSI

Google ads
Back to top button