
FERRARI MALAYSIA LANCAR F8 TRIBUTO. RM1,068,000 SAHAJA.
Naza Italia. Pemegang hak jenama Ferrari di Malaysia hari ini melancarkan model paling ikonik dalam sejarah pembangunan enjin V8 dari Itali itu- Ferrari F8 Tributo.
Ini model khas daripada Ferrari iaitu F8 Tributo yang juga model gantian kepada 488 GTB.
Ia juga dikeluarkan sebagai penghormatan kepada enjin V8 paling berkuasa dalam sejarah Ferrari.

Enjin ini berkuasa 710 hp pada 8,000 rpm dengan tork 770 Nm pada 3,250 rpm.
Ini adalah enjin V8 paling berkuasa pernah dimuatkan untuk sebuah model massa dan bukan edisi istimewa.
Enjin turbo V8 ini sebenarnya turut digunakan di dalam beberapa model lain dengan output kuasa berbeza.

Rekodnya juga hebat, menang kategori Enjin Terbaik tiga tahun berturut-turut dalam Anugerah Enjin Antarabangsa Tahunan pada 2016, 2017 dan 2018.
Malah pada tahun lalu turut menang enjin terbaik untuk dua dekad.
Benar, enjin ini diguna pada banyak model tetapi untuk F8 Tributo kuasa enjin ditingkatkan 50 hp lebih berbanding 488 GTB yang digantikan.

F8 Tributo juga 40 kg lebih ringan dengan 10 peratus pembaikan prestasi aerodinamik berbanding 488 GTB.
Selain 488 GTB, enjin F8 Tributo turut dikongsi bersama dengan Ferrari Pista.
Aerodinamik F8 Tributo dipengaruhi oleh Pista dengan S-Duct pada hud depan memberikan lebih kuasa mendapan selain daripada spoiler gentian karbon baharu.
Reka bentuk F8 Tributo pula memberikan gambaran kepada gaya bahasa masa depan Ferrari.
Masih lagi Ferrari dengan ciri-ciri segar dan beralun melalui garisan badan.
GALERI