Advertisements
Artikel Pilihan

HORSE W40 – V8 4L 680PS & 800NM.

Horse W40: Enjin V8 4.0L Twin-Turbo Hybrid Hasilkan 680 PS dan 800 Nm, Bakal Digunakan Pada Supercar Lotus!

Horse Powertrain memperkenalkan enjin V8 pertama mereka yang dikenali sebagai W40, sebuah unit 4.0 liter twin-turbo yang dibangunkan khusus untuk aplikasi rangkaian kuasa hibrid. Enjin ini mampu menghasilkan kuasa lebih 680 PS dan tork 800 Nm, menujukkan teknologi enjin pembakaran dalaman masih mempunyai ruang untuk berkembang dalam era EV.

W40 merupakan enjin V8 pertama yang dibangunkan oleh Horse Powertrain dan direka untuk dipadankan dengan sistem hibrid berprestasi tinggi. Angka 680 PS dan 800 Nm tersebut merupakan output daripada enjin pembakaran dalaman sahaja tanpa bantuan motor elektrik yang akan digunakan dalam konfigurasi hibrid.

Walaupun bersaiz 4.0 liter, enjin ini mencatatkan berat sekitar 200 kg sahaja. Ini memberikan nisbah kuasa kepada berat yang sangat tinggi, dengan output melebihi 170 PS bagi setiap liter sesaran enjin. Dari sudut kejuruteraan, W40 menggunakan konfigurasi hot-V twin-turbo dengan meletakkan kedua-dua pengecas turbo di bahagian tengah antara dua barisan silinder V8.

Susunan hot-V membolehkan laluan gas ekzos ke pengecas turbo menjadi lebih pendek, sekali gus membantu meningkatkan respons turbo serta menghasilkan pakej enjin yang lebih kompak. Enjin ini turut menggunakan sistem suntikan bahan api terus dan pelbagai komponen ringan untuk mengurangkan berat keseluruhan.

W40 direka untuk dipasang secara membujur atau longitudinal, menjadikannya sesuai digunakan pada kereta sport berenjin tengah dan juga kenderaan lain yang memerlukan konfigurasi rangkaian kuasa sedemikian.

Bagi memastikan enjin ini mampu mengendalikan output yang tinggi, Horse turut membangunkan transmisi hibrid 8LDCT lapan kelajuan dengan sistem klac berkembar basah. Transmisi ini direka khusus untuk aplikasi berprestasi tinggi dan mampu menerima daya kilas input maksimum sehingga 1,050 Nm.

Antara ciri menarik transmisi tersebut ialah masa pengisian awal klac kurang daripada 50 milisaat dan respons pertukaran gear kurang daripada 20 milisaat. Ia turut menggunakan sistem kawalan elektronik serta modul kuasa berasaskan silikon karbida atau SiC.

Teknologi silikon karbida membolehkan pengurusan kuasa elektronik dilakukan dengan lebih cekap dan sistem klac berkembar basah direka untuk mengendalikan beban haba dan daya kilas tinggi yang diperlukan untuk kereta sport. Gabungan trenkuasa ini akan membuat kemunculan sulung menerusi Lotus Type 135, supercar berenjin tengah yang dijadualkan diperkenalkan pada 2028.

Lotus turut membangunkan motor elektrik berkuasa 150 kW atau sekitar 204 PS dengan berat hanya 20 kg. Motor ini menggunakan teknologi yang diinspirasikan daripada Formula 1 bagi menghasilkan ketumpatan kuasa yang tinggi. Sebagai perbandingan, motor elektrik dengan output setara lazimnya mempunyai berat sekitar 75 hingga 95 kg.

Type 135 juga akan menjadi asas kepada penyertaan Lotus dalam perlumbaan GT3. Model ini dijangka mengisi ruang antara Lotus Emira dan hypercar elektrik Lotus Evija dalam barisan produk pengeluar dari Britain tersebut. Walaupun nama Type 135 masih belum dimuktamadkan, terdapat spekulasi bahawa model ini mungkin menghidupkan semula nama ikonik Lotus Esprit.

Dengan output 680 PS daripada enjin V8 seberat 200 kg sahaja, W40 merupakan satu perkembangan menarik dalam dunia rangkaian kuasa berprestasi tinggi. Namun, spesifikasi lengkap sistem hibrid termasuk kapasiti bateri, output gabungan dan penggunaan bahan api masih belum didedahkan sepenuhnya.

Google ads
Back to top button