Artikel Pilihan

ENJIN V8 TOYOTA TUNDRA TAHAN LASAK, 1.6JUTA KM PRESTASI MACAM BARU

Enjin Toyota sememangnya terkenal dengan aspek ketahanan dan apabila sebuah Toyota Tundra 2007 berjaya membawa reputasi itu ke tahap yang sukar dipercayai apabila mencatatkan perjalanan melebihi 1 juta batu, atau kira-kira 1.6 juta kilometer dengan menggunakan enjin asalnya.

Lebih mengagumkan ialah trak pikap milik Victor Sheppard itu masih menggunakan transmisi asal dan cat asal sekali gus menjadi antara contoh terbaik ketahanan kejuruteraan Toyota.

Bagi mengetahui sejauh mana keadaan sebenar enjin selepas digunakan dalam tempoh yang begitu lama, Toyota membeli semula Tundra berkenaan dan membawanya ke kilang pembinaan enjin di Huntsville, Alabama.

Di situ sekumpulan jurutera menjalankan pemeriksaan terperinci termasuk ujian prestasi menggunakan mesin dyno sebelum enjin dibongkar sepenuhnya. Tujuan utama pemeriksaan ini adalah untuk melihat tahap kehausan setiap komponen serta mengumpulkan data yang boleh digunakan bagi menambah baik pembangunan enjin pada masa hadapan.

Sebelum enjin dibuka, jurutera Toyota menjangkakan prestasinya sudah banyak merosot memandangkan ia telah menempuh lebih 1.6 juta kilometer. Namun keputusan ujian dyno memberikan kejutan besar. Enjin 2UZ-FE V8 berkapasiti 4.7 liter itu masih mampu melahu dengan sangat lancar

Pada masa sama enjin tersebut boleh diperah sehingga sekitar 5,700 rpm tanpa sebarang masalah dan kuasa yang dihasilkan hampir menyamai spesifikasi asal ketika baharu. Ketika ujian jurutera mendapati beberapa bacaan parameter yang menunjukkan prestasi lebih baik kerana enjin tersebut telah melalui proses break-in yang sempurna sepanjang hayat penggunaannya.

Selepas ujian prestasi selesai, jurutera mula membongkar enjin untuk memeriksa keadaan setiap komponen dalaman. Antara pengamatan mereka ialah dinding silinder masih jelas memaparkan kesan cross-hatching daripada proses pengilangan asal, menandakan kadar kehausan yang sangat rendah.

Permukaan aci engkol pula hampir tidak menunjukkan sebarang kesan haus, manakala piston, blok enjin dan kebanyakan komponen dalaman lain masih berada dalam keadaan yang sangat baik. Malah pembentukan karbon pada batang injap juga didapati sangat minimum.

Pemeriksaan yang lebih terperinci turut dilakukan terhadap bearing enjin, iaitu antara komponen yang lazimnya mengalami kehausan selepas tempoh penggunaan yang panjang. Bagaimanapun, jurutera mendapati hampir semua bearing berada dalam keadaan hampir sempurna dengan hanya satu bearing menunjukkan kesan calar yang sangat kecil.

Semua komponen utama termasuk blok enjin, kepala silinder dan camshaft kemudiannya diukur menggunakan peralatan makmal Toyota. Walaupun terdapat sedikit perubahan dimensi berbanding spesifikasi asal, tahap kehausannya jauh lebih rendah daripada jangkaan dan masih berada dalam julat yang sangat baik.

Berdasarkan keseluruhan pemeriksaan, Toyota menganggarkan enjin tersebut masih layak memperoleh skor kualiti sekitar 99 daripada 100 markah. Malah, jurutera syarikat itu mengakui mereka pernah menemui enjin yang digunakan dalam ujian ketahanan di makmal dengan tahap kehausan lebih tinggi berbanding enjin Tundra yang telah dipandu sejauh lebih satu juta batu ini.

Menurut Toyota, beberapa faktor menyumbang kepada jangka hayat luar biasa enjin tersebut. Antaranya ialah reka bentuk enjin 2UZ-FE V8 yang terkenal dengan ketahanan dan pembinaannya yang ringkas, penyelenggaraan berkala yang konsisten sepanjang hayat kenderaan serta corak penggunaan yang kebanyakannya melibatkan perjalanan lebuh raya.

Pemanduan jarak jauh pada kelajuan malar menghasilkan tekanan yang lebih rendah berbanding penggunaan harian dalam keadaan trafik sesak yang melibatkan kerap berhenti dan bergerak.

Kisah Toyota Tundra ini sekali lagi membuktikan bahawa ketahanan sesebuah enjin bukan hanya bergantung kepada reka bentuk yang kukuh, tetapi juga disiplin penyelenggaraan dan cara penggunaan pemiliknya.

Walaupun industri automotif kini semakin beralih kepada trenkuasa elektrik dan hibrid, enjin 2UZ-FE 4.7-liter V8 ini kekal sebagai salah satu contoh terbaik kejuruteraan enjin pembakaran dalaman yang mampu bertahan sehingga melepasi 1.6 juta kilometer, sekali gus mengukuhkan lagi reputasi Toyota sebagai pengeluar kenderaan yang sinonim dengan kebolehpercayaan jangka panjang.

Google ads
Back to top button