Artikel Pilihan

ENJIN V8 TURBO 900HP UNTUK F1 2030??

Formula 1 sedang mempertimbangkan perubahan besar terhadap peraturan unit kuasa bagi musim 2030 atau 2031, dengan cadangan untuk memperkenalkan enjin V8 turbo hibrid yang lebih ringkas, ringan dan murah untuk dibangunkan. Cadangan itu dikemukakan oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) sebagai usaha mengurangkan kerumitan teknologi serta mengembalikan lebih banyak penekanan kepada kemahiran pemandu.

Menurut laporan BBC Sport  Formula 1 pada 27 Oktober 2026, FIA telah mengedarkan dokumen cadangan kepada enam pengeluar unit kuasa yang terlibat dalam kejuaraan tersebut. Namun spesifikasi yang dicadangkan masih dalam peringkat perbincangan dan belum dimuktamadkan sebagai peraturan rasmi.

Cadangan itu menarik perhatian kerana F1 baru sahaja memperkenalkan peraturan unit kuasa baharu pada musim 2026, yang mengekalkan enjin 1.6 liter V6 turbo tetapi meningkatkan peranan sistem elektrik dalam menghasilkan kuasa keseluruhan.

Berdasarkan cadangan yang dilaporkan, FIA sedang meneliti penggunaan enjin V8 turbo dengan kapasiti antara 2.0 hingga 2.3 liter. Berbeza daripada enjin V8 aspirasi semula jadi yang digunakan F1 sehingga musim 2013, unit kuasa baharu ini masih akan menggunakan pengecas turbo dan sistem hibrid.

Kuasa keseluruhan disasarkan sekitar 900hp, dengan dominasi yang lebih besar kepada enjin pembakaran dalaman berbanding unit kuasa generasi 2026. Sistem pemulihan tenaga pula dicadangkan mempunyai kapasiti 200kW, berbanding 350kW dalam peraturan semasa.

Daripada jumlah tersebut, cadangan yang dilaporkan turut memperuntukkan 100kW untuk fungsi elektrik biasa dan tambahan 100kW bagi sistem push-to-pass. Sistem ini membolehkan pemandu mendapatkan tambahan kuasa elektrik ketika diperlukan, sekali gus berpotensi membantu aksi memotong dan pertarungan di litar.

Salah satu sebab FIA mempertimbangkan perubahan ini ialah cabaran yang timbul daripada peraturan unit kuasa 2026, khususnya berkaitan pengurusan tenaga elektrik. Sistem semasa memberikan peranan lebih besar kepada motor elektrik, sekali gus memerlukan pemandu mengurus penggunaan tenaga dan pemulihannya sepanjang perlumbaan.

Perkara ini mencetuskan kritikan daripada beberapa pemandu. Max Verstappen pernah menyamakan karakter pemanduan kereta generasi baharu dengan Formula E yang menggunakan steroid, manakala Fernando Alonso turut mengkritik penekanan berlebihan terhadap pengurusan bateri.

Dalam keadaan tertentu, pemandu perlu mengubah cara mereka memecut, membrek dan mengambil selekoh bagi memastikan tenaga elektrik mencukupi untuk digunakan pada bahagian litar yang sesuai. Keadaan ini menimbulkan persoalan sama ada teknologi tersebut benar-benar membantu menghasilkan perlumbaan yang lebih menarik.

Melalui cadangan V8 turbo hibrid, FIA mahu mengekalkan manfaat elektrifikasi tanpa menjadikan pengurusan tenaga sebagai faktor yang terlalu dominan dalam perlumbaan. Matlamatnya adalah untuk menghasilkan kereta yang lebih responsif dan membolehkan kemahiran pemandu memainkan peranan lebih besar.

Selain perubahan unit kuasa, FIA turut menyasarkan pengurangan berat kereta sehingga 80kg. Berat minimum kereta F1 bagi musim 2026 ditetapkan sekitar 768kg, menjadikan sasaran pengurangan tersebut satu perubahan yang besar sekiranya berjaya dicapai.

Sistem hibrid yang lebih ringkas berpotensi membantu mengurangkan berat melalui penggunaan bateri dan komponen elektrik yang lebih kecil. Namun, pengurangan berat keseluruhan turut bergantung pada reka bentuk casis, struktur keselamatan serta komponen mekanikal lain.

Kereta yang lebih ringan berpotensi memberikan tindak balas lebih pantas ketika menukar arah, meningkatkan ketangkasan di selekoh dan mengurangkan beban terhadap tayar. Kos pembangunan enjin mahu dikurangkan. FIA juga mahu mengurangkan kos pembangunan unit kuasa dengan mencadangkan pemotongan had bajet sehingga 50%. 

Had perbelanjaan pembangunan enjin F1 ketika ini dilaporkan berada sekitar AS$190 juta setahun, yang bermaksud pengurangan separuh akan menjadikan jumlahnya kira-kira AS$95 juta. Langkah ini bertujuan mengurangkan beban kewangan pengeluar dan menjadikan penyertaan dalam F1 lebih mampan untuk jangka panjang. 

Kos pembangunan unit kuasa moden sangat tinggi kerana melibatkan penyelidikan pembakaran, sistem elektrik, bateri, perisian kawalan dan bahan berteknologi tinggi. Enam pengeluar yang terlibat dalam perbincangan ini ialah Mercedes, Ferrari, Honda, Audi, Red Bull Powertrains dan Cadillac dijangka akan berbincang dengan FIA sebelum cadangan dibawa kepada World Motor Sport Council pada Disember 2026.

Sekiranya mendapat persetujuan, peraturan baharu itu berpotensi diperkenalkan pada 2030 atau 2031. Namun, tarikh pelaksanaan, kapasiti enjin dan pembahagian kuasa elektrik masih belum dimuktamadkan.

Google ads
Back to top button