FIAT LANCAR SUV COUPE BERNAMA FASTBACK, UNTUK PASARAN BRAZIL
Jika Volkswagen mempunyai produk SUV coupe bernama Nivus (atau Taigo di Eropah), Fiat ada Fastback – sebuah SUV coupe yang mempunyai kaitan rapat dengan model subkompak Fiat Pulse.
Fiat Fastback – ya, itu nama sebenar model ini – dibangun menggunakan platform MLA, dengan ukuran dimensi yang menyamai model Pulse, di mana Fiat Pulse mempunyai ukuran sepanjang 4.1 meter, lebar 1.77 meter, tinggi 1.57 meter dan jarak antara roda sepanjang 2.53 meter.
Disebabkan bentuk badan fastback, sudah pasti ruang kargo di belakang tidak mampu menyamai apa yang ditawarkan pada model Pulse sebesar 370 liter itu.
Menurut laporan Motor1, Fiat Fastback ini akan dilancarkan secara rasmi di Brazil pada Oktober ini sebagai model yang paling mahal dijual.
Ia akan menampilkan trenkuasa enjin turbo yang terdiri daripada nadi tiga silinder 1.0 liter berkuasa 130 hp dan enjin 1.3 liter yang mampu menjana 185 hp.
Bergantung kepada pilihan enjin, Fiat Fastback dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan ataupun CVT.
Fiat tidak mendedahkan secara rasmi ruang kabin Fastback, namun ia dijangka tidak akan membawakan perbezaan yang ketara berbanding ‘kembarnya’ Fiat Pulse.
Ini bermakna, Fiat Fastback mungkin akan mendapat skrin kluster digital, serta skrin infotainmen 10.1 inci, namun dengan ruang kepala belakang yang sedikit kurang disebabkan garis bumbung yang lebih rendah. – Motor1