Artikel Pilihan

MODEL FIAT PALING PELIK – MACAM LUKISAN BUDAK DARJAH SATU KAN?

Pada acara FuoriConcorso yang diadakan di Lake Como, Itali, FCA telah mempamerkan Abarth 1000 Monoposto Record Pininfarina dan ia segera menjadi tumpuan umum. Kisahnya bermula seawal tahun 1960 sewaktu Pininfarina mula bermain dengan ciri aerodinamik dan terus jatuh hati.

Pada Turin Motor Show kali ke 42, sebuah model konsep yang dinamakan Pininfarina X diperkenalkan dan model 4 pintu itu mempunyai kadar seretan 0.20Cd. Turut dipamerkan ialah Monoposto yang diasaskan daripada Fiat Abarth dan terus menjadi perhatian pengunjung ke pameran tersebut. Ia bukan hanya kereta konsep tapi ia juga adalah pemecah rekod.

Kedua-dua model dibangunkan seawal tahun 1956 menggunakan enjin kapasiti kecil tetapi rekaannya cukup mementingkan ciri aerodinamik. Ia membolehkan Monoposto bergerak sejauh 10,000 kilometer pada kelajuan 191 kmj. Fuh laju tu bang. Bukan itu sahaja ia juga mampu bergerak selama 72 jam tanpa henti pada kelajuan purata 186.6 kmj. Berapa kali keliling Semenanjung tu agak-agak kalau kira jarak.

Kedua-dua rekod tersebut dicatatkan di Litar Monza dan itu baru dua daripada sembilan rekod dunia yang dipegang oleh Monoposto. Kesemua rekod tersebut dicipta menggunakan enjin 1.0 liter, 105 hp yang mampu diperah sehingga 8,000 rpm menggunakan kotak gear 4-kelajuan.

Bagaimana rasanya memandu selama 72 jam dalam ruangan yang sama seperti kokpit pesawat pejuang dalam sebuah kereta yang hanya seberat 500 kilogram. Ya, 500 kilogram sahaja tuan-tuan. Berat sikit je daripada sebuah superbike.

Mungkin Fiat sekarang tidak lagi dikenali melalui model-model performance tapi siapa tahu mungkin di masa akan datang mereka bakal menggemparkan dunia.

Antara rekod lain yang dipegang oleh Monoposto ialah:

  • 3218 kilometer (2000 batu) dengan purata kelajuan 201.115 kmj
  • 24 jam pada purata 198.795 kmj
  • 5,000 kilometer pada purata kelajuan 199.238 kmj
  • 8046 kilometer (5000 batu) dengan purata kelajuan 192.878 kmj
  • 48 jam pada purata 190.264 kmj
  • 10,000 kilometer pada purata kelajuan 191.376 kmj
Google ads
Back to top button