" "
Buletin

MERCEDES-BENZ SAH GUGUR BEBERAPA MODEL COUPE, WAGON, SUV COUPE KELAK

Setelah membatalkan model-model seperti SLC, S-Class Coupe dan S-Class Cabriolet, Mercedes-Benz mahu meringkaskan lagi penawaran produk kenderaan mereka untuk tempoh beberapa tahun akan datang.

Antara produk yang bakal terjejas termasuklah C-Class Coupe dan E-Class Coupe yang akan digabungkan menjadi dua buah model di bawah CLE-Class.

Jenama Jerman itu juga akan menghentikan penawaran model CLS-Class, serta model prestasi tinggi AMG GT 4-Door Coupe.

Selain daripada model-model coupe, Mercedes-Benz turut menganggap model-model wagon tidak lagi mendatangkan keuntungan.

Ini bermakna, model wagon seperti E-Class Estate akan muncul buat kali terakhir pada tahun 2024, sementara model C-Class Estate dan CLA Shooting Brake juga akan perlahan-lahan dikuburkan menjelang tahun 2030.

Bentuk badan SUV Coupe juga tidak terlepas daripada menjadi mangsa, di mana generasi baharu GLC Coupe dan GLE Coupe akan menjadi generasi terakhir sebelum ia ditamatkan secara total.

Daripada 33 bentuk badan yang kini ditawarkan oleh Mercedes-Benz, hanya 14 buah sahaja yang akan dikekalkan dalam portfolio produk jenama itu, menurut info daripada Car and Driver.

Namun begitu, laporan yang sama turut menyebut Mercedes-Benz akan menawarkan beberapa model baharu, seperti model ikonik 300 SL Gullwing yang dihidupkan semula, trak pikap G-Class, serta speedster SL. – Car and Driver

Google ads
Back to top button